AM > BERITA

'SAYA TIADA SEBARANG HUBUNGAN DENGAN ISRAEL' - SHEIKH MOHAMMED

08/05/2024 06:09 PM

KUALA LUMPUR, 8 Mei (Bernama) -- Setiausaha Agung Liga Dunia Islam (MWL) Sheikh Dr. Mohammed Abdulkarim Al-Issa menyangkal dakwaan yang mengatakan beliau mempunyai hubungan dengan Israel. 

Bercakap kepada media selepas mesyuarat Majlis Ulama Asia 2024 di sini hari ini, beliau mengulangi pendiriannya yang tidak bersetuju dengan sesiapa sahaja yang menyokong tindakan dan peperangan didalangi Zionis di Gaza. 

"Kami hanya terlibat dengan individu yang memperjuangkan nilai murni untuk kebaikan dunia. Kami mengalu-alukan dan menyokong usaha pengikut daripada pelbagai fahaman agama yang bersama-sama berjuang demi keamanan dunia. 

"Kami tidak terlibat dengan politik Israel. Terdapat individu dalam kalangan penganut Yahudi yang menentang dasar Israel dan mereka telah mengeluarkan kenyataan yang jelas dan telus. Oleh itu, adalah tidak wajar untuk kami menolak semua orang termasuk mereka yang menyokong kedamaian.

“Kita tidak boleh mengecam agama atau kepercayaan yang menyeru kepada keamanan hanya disebabkan tindakan segelintir ahli politik. Kita tidak boleh mengabaikan mesej keamanan yang lebih menyeluruh,” katanya.

Sheikh Mohammed ditanya mengenai laporan media yang mendakwa beliau seorang yang pro-Zionis dan lawatannya ke Malaysia mungkin mencetuskan kritikan dalam kalangan masyarakat di negara ini. 

Mengulas mengenai Majlis Ulama Asia, Sheikh Mohammed menekankan tentang kesederhanaan dan keamanan sebagai nilai teras Islam sambil menegaskan bahawa ekstremisme atau faham pelampau dan keganasan tidak hanya khusus dikaitkan dengan agama tertentu sahaja.

"Ramai penganut agama lain telah menunjukkan kecenderungan ke arah ekstremisme dan keganasan dan ia tidak eksklusif untuk Islam sahaja. Namun, ramai orang cenderung mengabaikan peristiwa bersejarah dan sejarah peperangan," katanya.

Majlis Ulama Asia 2024 anjuran Pejabat Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dengan kerjasama Liga Dunia Muslim itu dirasmikan oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

-- BERNAMA


 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan