AM > BERITA

ALLAHYARHAM ABDUL TAIB LETAK ASAS KUKUH DASAR PEMBANGUNAN TENAGA BOLEH BAHARU SARAWAK

08/05/2024 06:37 PM

KUCHING, 8 Mei (Bernama) -- Bekas Yang Dipertua Negeri dan Ketua Menteri Sarawak Allahyarham Tun Abdul Taib Mahmud meletakkan asas yang kukuh dalam dasar pembangunan Tenaga Boleh Baharu (TBB) Sarawak, kata Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Satok Datuk Ibrahim Baki.

Beliau berkata penerimaan awal Sarawak terhadap dasar TBB merupakan hasil pandangan jauh Allahyarham, yang membangunkan Wilayah Koridor Tenaga Boleh Baharu Sarawak (SCORE), kira-kira 16 tahun lepas.

Menurutnya inisiatif itu menjadi tulang belakang kepada rancangan masa depan pembangunan dan ekonomi negeri.

“Menerusi SCORE, bahagian tengah Sarawak memperoleh manfaat besar dengan kemunculan pelaburan dan pelaksanaan projek berimpak tinggi serta peluang pekerjaan yang luas kepada penduduk tempatan.

"Limpahan inisiatif SCORE turut membawa kepada penubuhan tiga agensi di bawah Lembaga Pembangunan Koridor (RECODA), yakni Agensi Pembangunan Ulu Rajang (URDA), Agensi Pembangunan Tanah Tinggi (HDA) dan Agensi Pembangunan Wilayah Utara (NRDA)," katanya dalam perbahasan menyokong usul penghargaan kepada Allahyarham Abdul Taib pada persidangan Dewan Undangan Negeri di sini hari ini.

Ibrahim berkata agensi-agensi ini telah terbukti berjaya dan model pembangunan menyeluruh yang membabitkan maklum balas daripada masyarakat setempat itu terbukti berkesan.

“Ia membuahkan hasil, sehingga beberapa agensi pembangunan lain turut ditubuhkan untuk kawasan setempat seperti Samarahan, Greater Kuching, Sri Aman dan Betong.

“Inisiatif tenaga boleh baharu adalah legasi beliau (Allahyarham Abdul Taib), kini diteruskan dan dipertingkatkan oleh Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg yang mempelopori ekonomi hijau Sarawak dengan penekanan kepada tenaga antaranya hidrogen dan solar,” katanya.

Abdul Taib, 87, meninggal dunia di sebuah hospital swasta di Kuala Lumpur pada 21 Feb. Dilahirkan pada 21 Mei 1936, Abdul Taib menerajui Sarawak sebagai Ketua Menteri selama 33 tahun.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan