AM > BERITA

MOHON SECARA RASMI JIKA MAHU PERKONGSIAN STRATEGIK DENGAN MOT, JPJ - LOKE

08/05/2024 08:41 PM

PUCHONG, 8 Mei (Bernama) -- Kementerian Pengangkutan (MOT) tidak menolak perkongsian strategik dengan mana-mana pihak ketiga atau swasta untuk melakukan perkhidmatan bagi pihak agensi di bawah kementerian itu, namun ia perlu dilakukan dengan cara yang betul dan mendapat kebenaran. 

Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata pihaknya tidak mahu ada mana-mana syarikat yang secara tiba-tiba melancar dan mengumumkan penyediaan perkhidmatan untuk jabatan kerajaan tanpa pengetahuan kementerian sendiri.

“Mereka harus mohon secara rasmi dan bentangkan perancangan mereka, kalau berjaya meyakinkan kita tiada masalah, tapi mereka harus ikut proses yang betul,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan Majlis Pecah Tanah dan Menandatangani Perjanjian Pembangunan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil Castlefield di sini hari ini. 

Semalam, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dalam kenyataan memaklumkan MOT mahupun jabatan itu sendiri tidak pernah memberikan kelulusan kepada platform pembaharuan insurans secara dalam talian BJAK Sdn. Bhd. (BJAK) untuk menjalankan perkhidmatan urus niaga pembaharuan cukai jalan. 

JPJ memaklumkan jabatan itu memandang serius kandungan iklan yang dikeluarkan melalui laman sesawang bjak.my dan media sosial BJAK berhubung perkhidmatan urus niaga pembaharuan Lesen Kenderaan Motor (LKM) atau cukai jalan secara dalam talian yang ditawarkan kepada orang awam termasuk program pemberian cukai jalan secara percuma.

Loke berkata pihaknya melihat syarikat BJAK melakukan kempen secara agresif dalam menawarkan beberapa perkhidmatan sedangkan tidak mendapat kelulusan JPJ mahupun memiliki sebarang perjanjian dengan jabatan itu. 

“Kita bimbang kalau tiada tindakan diambil mungkin orang ramai keliru ini satu perkhidmatan yang ada pengesahan JPJ. Kalau BJAK nak kerjasama dengan JPJ, dia mesti mohon secara rasmi sebagai rakan strategik kepada JPJ,” katanya. 

Terdahulu, dalam ucapannya Loke berkata Prasarana Malaysia Berhad akan membayar kos pampasan RM20 juta bagi penggantian dan pembangunan seluruh sekolah SJKT Castlefield di kawasan yang baharu, iaitu di Lot 133 Taman Wawasan, Pusat Bandar Puchong.

Ini susulan syarikat itu telah dipertanggungjawabkan untuk membina semula sekolah ganti berikutan pengambilan tanah bagi projek Transit Aliran Ringan (LRT) Laluan Ampang (Line Extension Project – LEP) yang turut melibatkan sekolah berkenaan. 

Sementara itu, Dhaya Maju Infrastructure Asia Sdn Bhd (DMIA) pula akan membayar lebihan kos pembinaan melalui tanggungjawab sosial dengan menjadi pemaju projek itu untuk reka, bina dan menyiapkan pembangunan sekolah berkenaan. 

“MOT akan meneruskan pemantauan terhadap projek pembangunan ini melalui satu jawatankuasa yang telah ditubuhkan di peringkat kementerian. Ini bagi memastikan projek mula dilaksanakan mengikut skop kerja dan tempoh masa yang telah ditetapkan.

“Projek berkenaan dijangka mengambil masa tiga tahun untuk disiapkan,” kata Loke. 

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan