AM > BERITA

MALAYSIA TAWAR PELUANG PENGAJIAN DI UKKM, BIASISWA KEPADA PELAJAR PALESTIN

09/05/2024 08:58 PM

KUALA LUMPUR, 9 Mei (Bernama) -- Kerajaan akan menawarkan peluang pengajian berserta biasiswa kepada pelajar Palestin untuk melanjutkan pengajian dalam bidang koperasi di Universiti Keusahawanan Koperasi Malaysia (UKKM).

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick berkata hasil perbincangan dengan agensi berkaitan pada Persidangan Menteri-Menteri Koperasi Asia Pasifik di Jordan hujung bulan lepas, tawaran biasiswa itu akan diberikan kepada sekurang-kurangnya tiga pelajar dari bumi bergolak itu.

Beliau berkata usaha itu merupakan satu bentuk sokongan Malaysia kepada rakyat Palestin untuk terus membangunkan wilayah mereka, terutama dalam gerakan koperasi.

“Ini sedang disusuli perbincangannya oleh duta besar kita di Jordan dengan Kementerian Koperasi di Palestin dan juga telah dibincangkan di mesyuarat pasca-Kabinet kementerian (semalam).

“Pada ketika ini, itu adalah bentuk kerjasama yang kita tawarkan kepada Palestin dan sedang dibincangkan dengan lebih lanjut...Menteri Koperasi Palestin telah menyatakan minat yang begitu besar untuk belajar daripada Malaysia dalam membangunkan gerakan koperasi,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Perhimpunan Menteri Pembangunan Koperasi Bersama Warga dan Agensi yang diadakan serentak dengan Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) dan Agensi di sini, hari ini.

Turut hadir Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk R. Ramanan dan Ketua Setiausaha KUSKOP Datuk Seri Suriani Ahmad.

Mengulas lanjut, Ewon berkata kriteria pemilihan pelajar tertakluk kepada penetapan UKKM namun perlu mengambil kira perkembangan semasa di Palestin.

“Kita perlu memberi ruang kepada belia-belia di Palestin untuk belajar di universiti koperasi ini…kita berharap dapat menjadi sebahagian daripada proses pemulihan atau pembangunan semula wilayah Palestin melalui perkongsian maklumat dan pengajian di universiti koperasi itu,” katanya.

Terdahulu ketika berucap pada majlis itu, Ewon memaklumkan Program MADANI Rakyat 2024 Zon Utara yang berlangsung pada 3 hingga 5 Mei lepas di Pulau Pinang berjaya merekodkan jualan lebih RM307,000 dengan jumlah kehadiran 289,228 pengunjung.

Ewon turut menyerahkan surat pelantikan kepada Pengerusi Institut Koperasi Malaysia (IKMa) Onn Abu Bakar dan Pengerusi Institut Keusahawanan Negara (INSKEN) Mustaffa Kamil Ayub serta Ahli Lembaga Pemegang Amanah INSKEN.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan