AM > BERITA

IBU BAPA BERPERANAN PENTING DALAM TUMBESARAN KANAK-KANAK

10/05/2024 08:00 PM

SUNGAI PETANI, 10 Mei (Bernama) -- Penglibatan ibu bapa khususnya dalam memberikan kasih sayang dan sokongan psikologi, memainkan peranan penting terhadap tahap tumbesaran kanak-kanak kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.

Beliau berkata pelbagai masalah mungkin timbul, sekiranya kanak-kanak tidak mendapat perhatian yang cukup daripada ibu bapa.

“Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) boleh melancarkan pelbagai kempen, namun yang paling utama ialah penglibatan ibu bapa, mereka mesti mengambil tanggungjawab terhadap kesihatan keluarga khususnya anak-anak.

“Tumbesaran anak-anak bergantung kepada sejauh mana mereka memainkan peranan, memberikan belaian kasih sayang, sokongan psikologi...malah perubahan tingkah-laku anak-anak juga turut dipengaruhi oleh ibu bapa,” katanya selepas melancarkan program Kembara Sihat Sejahtera HePiLI bersama Didi & Friends Zon Utara di sebuah pusat beli-belah di sini, hari ini.

Dr Dzulkefly berkata dalam usaha memastikan kempen pendidikan kesihatan mencapai matlamatnya, KKM sentiasa berinovasi dan berkreativiti dalam mempersembahkan produk yang mampu menarik minat kanak-kanak.

“Kami sedar sangat mustahak meningkatkan program pendidikan kesihatan dengan menggunakan media-media baharu, antaranya melalui ikon animasi yang sudah ada di negara ini.

“Kita ada pelbagai jenis animasi lain seperti Upin Ipin, Ejen Ali dan Boboiboy, yang mendapat sambutan di negara luar...kami akan memanfaatkan media-media ini menerusi pendekatan animasi untuk mewujudkan kandungan yang menarik perhatian kumpulan sasaran,” katanya.

Program Kembara Sihat Sejahtera HePiLI bersama Didi & Friends diadakan untuk mempromosikan kesihatan di institusi pendidikan dalam usaha meningkatkan pengetahuan dan kemahiran tingkah laku kesihatan kanak-kanak.

Program terbabit yang mula dilaksanakan bermula November tahun lepas sehingga 2025, akan membabitkan 17 lokasi di seluruh negara.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan