AM > BERITA

KONTRAKTOR KECIL DAN SEDERHANA PENGGANDA EKONOMI LOKAL - AHMAD MASLAN

07/06/2024 09:08 PM

KUALA LUMPUR, 7 Jun (Bernama) -- Industri pembinaan melalui kumpulan kontraktor kecil dan sederhana boleh menjadi ‘faktor pengganda’ dalam membantu mengembangkan ekonomi setempat. 

Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Seri Ahmad Maslan berkata pelaksanaan projek bukan hanya memastikan kelangsungan kontraktor kecil dan sederhana tetapi juga dapat membantu syarikat pembekal tempatan berkembang.

Katanya pihaknya berharap lebih banyak projek dapat diberikan kepada kontraktor G1, G2, G3, G4, misalnya projek penambahbaikan tandas sekolah dan menaik taraf sekolah daif oleh Kementerian Pendidikan (KPM).

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyaksikan majlis menandatangani memorandum persefahaman (MOU) antara Persatuan Kontraktor Kelas F Bumiputera Malaysia (PERKOBF) dan Planworth Global Factoring Sdn Bhd (Planworth) di sini hari ini.

Pada majlis itu, Plantworth menawarkan pembiayaan hampir RM700 juta kepada kontraktor kelas G1 di seluruh negara.

Dalam pada itu, Ahmad berkata pihaknya menyambut baik cadangan Presiden PERKOBF Tukiman Radion agar lebih banyak projek diberikan secara undian di peringkat daerah dan negeri bagi memastikan kontraktor kelas G1 memperoleh lebih banyak projek. 

Katanya secara keseluruhan jumlah kontraktor negara ini ialah 133,500 kontraktor di mana daripada jumlah itu seramai 66,678 merupakan kontraktor kelas G1.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Planworth Datuk Andy Kuek berkata melalui kerjasama itu, Planworth komited untuk memberi lebih banyak sokongan kewangan kepada kontraktor kecil bagi membantu perniagaan mereka.

"Kami mengambil tanggungjawab dan memberi perhatian kepada kontraktor kecil di Malaysia yang turut berperanan penting dalam ekosistem ekonomi negara namun seringkali sukar mendapat bantuan kewangan,”katanya.

Planworth merupakan sebuah institusi kewangan yang berdaftar dengan Kementerian Kewangan (MOF) dan e-perolehan untuk membiayai para kontraktor, penjual dan pembekal kepada kerajaan, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan sektor swasta.

--BERNAMA

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan