AM > BERITA

MALAYSIA TERUSKAN KAJIAN EMPIRIKAL PENGASINGAN KUASA PEGUAM NEGARA, PENDAKWA RAYA DI AUSTRALIA

08/06/2024 01:53 AM

KUALA LUMPUR, 7 Jun (Bernama) -- Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said mengetuai delegasi Malaysia ke Australia bagi meneruskan kajian empirikal mengenai pengasingan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya.

Azalina dalam kenyataan hari ini berkata lawatan kerja bermula Ahad hingga semalam itu disertai timbalannya M.Kulasegaran, Ahli Parlimen Selayang merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen bagi Hak Asasi Manusia, Pilihan Raya dan Reformasi Institusi, William Leong dan Ahli Parlimen Pendang yang mewakili blok pembangkang Datuk Awang Hashim.

Turut sama beberapa pegawai kanan Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri (BHEUU, JPM), Jabatan Peguam Negara (AGC) serta Presiden Majlis Peguam Malaysia.

Azalina berkata agenda kajian empirikal dimulakan dengan perbincangan meja bulat bersama pakar anjuran bersama oleh BHEUU, JPM, Monash University Australia dan Universiti Islam Antarabangsa.

"(Ia) bertujuan untuk memudah cara dialog berkaitan struktur dan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya yang diamalkan di Malaysia dan Australia.

"Sesi yang dikendalikan Prof Marilyn Pittard, Dekan Interim, Fakulti Undang-Undang di Monash University dan turut disertai lebih daripada 50 pakar terkemuka daripada kedua-dua negara sebagai ahli panel dan penceramah khas," katanya.

Azalina berkata antara yang terlibat adalah pakar Perlembagaan Malaysia Prof Madya Datuk Dr Shamrahayu Ab Aziz dan bekas Ketua Pendakwa Raya dan Pengarah Pendakwaan Awam Victoria, Paul Coghlan.

Hadir sama wakil pertubuhan masyarakat sivil dan pertubuhan bukan kerajaan yang berkepentingan seperti Suruhanjaya Hak Asasi Manusia, Projek SAMA, CSO Platform for Reform dan All Party Parliamentary Group Malaysia on Integrity, Governance and Anti-Corruption.

Menurutnya ketika di Canberra, delegasi negara telah mengadakan perbincangan bersama Timbalan Pengarah Pendakwaan Awam Australia Mark de Crespigny serta pegawai dari Pejabat Pengarah Pendakwaan Awam negara itu.

"Kemuncak lawatan ini adalah pertemuan bersama Peguam Negara Australia Mark Dreyfus bagi sesi perbincangan dua hala berhubung sistem semasa yang diguna pakai di Australia serta memahami proses pendakwaan dan struktur Pejabat Pendakwaan Awam di Australia.

Selepas itu, katanya beliau juga berkesempatan bertemu Menteri Komunikasi Australia Michelle Rowland dan Timbalan Menteri Luar Negeri Australia Tim Watts di Bangunan Parlimen Australia dan mengadakan perbincangan dua hala dengan tertumpu kepada pelbagai perkara yang bermanfaat bagi kedua-dua negara.

"Selain itu, delegasi Malaysia turut berpeluang mengadakan beberapa sesi dialog Reformasi Institusi bersama pelajar dan profesional Malaysia yang berada di Melbourne dan Canberra," katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan