AM > BERITA

LLM, SYARIKAT KONSESI DIARAH PERIKSA DAKWAAN KERETAKAN DI SPE

08/06/2024 12:34 PM

KUALA LUMPUR, 8 Jun (Bernama) -- Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) dan syarikat konsesi Lebuhraya Setiawangsa-Pantai (SPE) diarah membuat pemeriksaan dan penilaian segera di persimpangan bertingkat lebuh raya berkenaan di Jalan Cheras yang didakwa retak. 

Menteri Kerja Raya Datuk Sri Alexander Nanta Linggi menerusi akaun X berkata keselamatan semua pihak terutama pengguna jalan raya amat dititikberatkan.

Beliau berkata demikian sebagai reaksi kepada satu hantaran menerusi akaun X berserta gambar yang mendakwa keretakan di persimpangan bertingkat lebuh raya berkenaan semakin besar.

“Saya amat memandang serius perkara ini,” kata Nanta.

SPE  dibuka sepenuhnya pada 3 Nov lepas mempunyai laluan tiga lorong dua hala dan tujuh persimpangan bertingkat.

SPE dibahagikan kepada empat seksyen utama iaitu Kerinchi - Salak (Seksyen 1), Salak - Pandan (Seksyen 2), Pandan - Setiawangsa (Seksyen 3) dan  Setiawangsa - Taman Melati (Seksyen 4) dengan jarak keseluruhan sepanjang 20.7 kilometer.

Ia menghubungkan beberapa lebuh raya lain seperti Lebuhraya Skim Penyuraian Trafik Kuala Lumpur Barat (SPRINT), Lebuhraya Bertingkat Ampang - Kuala Lumpur (AKLEH), Lebuhraya Duta - Ulu Kelang (DUKE), Lebuhraya Lingkaran Tengah 2 Kuala Lumpur (MRR2) dan lain-lain bagi meningkatkan kecekapan rangkaian dan mengurangkan kesesakan di ibu negara.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan