AM > BERITA

MENONTON FILEM BERSAMA CATE BLANCHETT DI CANNES, ANTARA PENGALAMAN BERHARGA DOKTOR WARGA MALAYSIA

09/06/2024 10:51 AM

Oleh V. Sankara

KUALA LUMPUR, 9 Jun (Bernama) -- Festival Filem Cannes ke-77 yang berlangsung di Perancis baru-baru ini, bukan sekadar mempamerkan glamour  dunia hiburan menerusi penampilan selebriti terkenal, tetapi juga menyaksikan model Malaysia meninggalkan impak mereka di sana. 

Bagi Dr Nisha Thayananthan, model sambilan dan peminat fesyen, berjalan di atas karpet merah acara itu buat kali kedua berturut-turut serta menonton komedi hitam “Rumours” bersama-sama pemenang anugerah Oscar Cate Blanchett, merupakan pengalaman yang tidak dapat dilupakan.

Mengenakan gaun yang diilhamkan daripada ikan duyung, doktor perubatan kelahiran Seremban dan kini menjalani latihan pembedahan plastik di sebuah hospital di Dublin, Ireland, menghadiri tayangan perdana filem itu pada 18 Mei lepas. 

“Selain itu, sepanjang di sana, saya juga berpeluang melakukan pelbagai aktiviti menyeronokkan seperti melawat tempat tumpuan pelancong,” katanya kepada Bernama, menerusi WhatsApp.

Dr Nisha yang baru-baru ini diundang oleh ibu pejabat baharu Linkedln di Eropah, iaitu di Dublin, bagi menyampaikan syarahan, berkata keanggunan penampilannya pada acara karpet merah tersebut adalah hasil kerjasama pasukannya dan penaja di Perancis.

“Dari segi profesional, saya berpeluang bertemu dengan ramai usahawan semasa acara makan malam yang membolehkan saya meluaskan pengetahuan, bukan sahaja dalam bidang perubatan tetapi juga perniagaan,” tambahnya.

Mengulas tentang busana yang dipakainya, beliau berkata gaun malam itu direka oleh pereka fesyen Vietnam, Nguyễn Minh Tuấn. 

Busana itu mengetengahkan gandingan warna hijau zamrud dengan rona biru biji kundang yang dilengkapi bayang ekor ikan, dilengkapkan dengan fabrik berjaring lut sinar.

“Elemen paling ketara pada busana itu termasuk hiasan yang kompleks, hasil gandingan kristal, batu Swarovski, mutiara dan batu permata,” jelasnya.

“Ringkasnya, reka bentuk busana itu adalah gabungan kecantikan dan keanggunan ikan duyung serta kreativiti berwawasan pereka Nyugen Minh Tuan dan pasukannya di Minh Tuan Couture,” katanya, menambah gaun itu ditampilkan di dalam pelbagai majalah antarabangsa termasuk Harper’s BAZAAR.

Ditanya bagaimana beliau mengimbangi kerjaya selaku model dan doktor bedah, Dr Nisha yang baru-baru ini ditemu bual oleh majalah Forbes edisi Perancis, berkata kejayaan seseorang dalam pelbagai bidang bergantung pada minda.

“Jika anda bekerja keras dan memberikan sepenuh jiwa dalam apa juga bidang yang anda minat, anda akan berjaya. Iltizam dan semangat adalah kunci kejayaan kepada usaha anda.

Nasihat beliau kepada mereka yang berhasrat menceburi pelbagai bidang secara serentak adalah “Jika anda ingin meneroka perkara baharu, terus lakukan. Jangan bertangguh, biarkan usaha anda menjadi bukti. Musuh utama anda ialah terlalu memikirkan tanggapan orang lain terhadap diri anda. 

“Percaya pada diri sendiri. Anda yang putuskan apa yang anda mampu buat, bukan orang lain. Buktikan kepada dunia yang anda adalah seorang pemimpin dan bebaskan diri daripada pemikiran yang mengekang,” katanya, menambah beliau sedang mengusahakan klinik estetik di Eropah.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan