AM > BERITA

DLP: SESI LIBAT URUS JPN DAPAT MAKLUM BALAS YANG SANGAT BAIK - FADHLINA

09/06/2024 01:59 PM

KEPALA BATAS, 9 Jun (Bernama) -- Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Pulau Pinang menerima maklum balas yang sangat baik dalam sesi libat urus bersama semua pihak terlibat berhubung isu pengendalian Program Dwibahasa (DLP) di beberapa sekolah negeri itu.

Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata sesi libat urus itu bertujuan memahami keperluan semua pihak mematuhi garis panduan dan membuat penegasan semula tentang dasar memartabatkan Bahasa Melayu dan mengukuhkan Bahasa Inggeris.

"Kita tegaskan garis panduan itu mesti dipatuhi, sebab itu sesi libat urus sangat penting, dan pasca isu itu sebenarnya JPN (Pulau Pinang) telah sekali lagi turun serta memberikan penjelasan, malah sesi libat urus itu juga merupakan proses berterusan.

"Maklum balas daripada sesi libat urus yang dijalankan oleh pihak JPN Pulau Pinang dengan pihak terlibat selepas isu itu timbul sangat baik, saya fikir sebab itu kita kena buat libat urus jadi ia berjalan dengan baik," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Hari Keluarga Kelab Media Mutiara Pulau Pinang di sebuah taman tema air di Bertam, di sini hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas perkembangan tindakan Lembaga Sekolah serta Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) daripada 11  Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) dan Sekolah Menengah Cina (SMC) di Pulau Pinang yang meminta Kementerian Pendidikan menghormati kehendak ibu bapa dan kembali kepada hasrat asal DLP dalam Sains serta Matematik.

DLP adalah program di bawah dasar Memartabatkan Bahasa Malaysia Memperkukuh Bahasa Inggeris (MBMMBI) yang memberi pilihan kepada sekolah untuk menggunakan bahasa Inggeris dalam Pengajaran dan Pembelajaran mata pelajaran Sains dan Matematik. 

Sementara itu Fadhlina berkata JPN sedang menjalankan siasatan mengikut tatakerja dan tatacara prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan di Kementerian Pendidikan (KPM) terhadap pihak sekolah dan guru berhubung kejadian murid yang dikatakan didenda tengah panas hampir tiga jam di sebuah sekolah baru-baru ini.

"Kita (KPM) juga telah serahkan pada pihak berkuasa dan siasatan dilakukan oleh pihak polis, maknanya siasatan serta tindakan selanjutnya di pihak berkuasa, sudah ada laporan polis dan kita serahkan kepada mereka untuk tindakan selanjutnya," katanya.

Media tempatan melaporkan ibu murid terbabit mendakwa anaknya mengalami strok haba dan masalah saraf serta diberikan surat rujukan untuk dinilai sebagai Orang Kurang Upaya (OKU) akibat masalah kesihatan dialaminya susulan kejadian itu.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan