AM > BERITA

MENTERI KABINET ZAHIR UCAPAN TAKZIAH KEPADA KELUARGA FADHLINA

16/06/2024 02:48 PM

KUALA LUMPUR, 16 Jun (Bernama) -- Beberapa menteri Kabinet hari ini merakamkan ucapan takziah kepada Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek dan keluarga atas pemergian ibu beliau, Datin Dr Siti Zalikhah Md Nor, yang meninggal dunia pagi tadi.

Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa dalam Facebooknya berkata pemergian Siti Zalikhah yang merupakan balu Allahyarham Datuk Dr Siddiq Fadzil adalah kehilangan besar kepada negara memandangkan beliau seorang pendidik bangsa dan aktivis masyarakat yang sangat disegani.

“Saya merakamkan ucapan takziah kepada YB Fadhlina dan keluarga atas kehilangan ini. Semoga roh Allahyarhamah dicucuri rahmat oleh Allah SWT dan ditempatkan bersama-sama roh orang-orang yang beriman dan beramal soleh,” katanya.

Turut berkongsi kesedihan atas pemergian ibu Fadhlina di Facebook ialah Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu.

“Semoga rohnya dicucuri rahmat dan ditempatkan di kalangan orang yang beriman dan beramal soleh. Salam takziah kepada seluruh ahli keluarga Allahyarhamah,” katanya. 

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad turut sama mengucapkan takziah kepada Fadhlina dan berharap beliau kekal tabah dan bersabar menghadapi ujian.

“Pilu hati apabila menerima perkhabaran duka pemergian Ustazah Datin Dr Siti Zalikhah Md Nor. Semoga rohnya dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang beriman dan beramal soleh.

“Salam takziah juga saya ucapkan buat ahli keluarga YB Fadhlina di atas kehilangan bonda yang tercinta. Semoga kekal tabah dan bersabar dengan ujian ini,” kata Dzulkefly dalam hantaran di laman Facebook.

Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Aiman Athirah Sabu turut berkongsi kesedihan atas pemergian ibu Fadhlina menerusi hantaran di Facebook.

“Salam takziah saya ucapkan kepada YBM Fadhlina dan keluarga di atas pemergian ibu tercinta pada hari mulia, hari Arafah ini. Saya turut berdukacita dan mendoakan semoga roh Almarhumah ibunya dicucuri rahmat dan ditempatkan bersama golongan solihin,” katanya.

Siti Zalikhah meninggal dunia di Hospital Serdang pada 9.30 pagi tadi dan disahkan oleh Pejabat Menteri Pendidikan menerusi hantaran di laman Facebook Fadhlina.

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan