AM > BERITA

OKK PASTIKAN PREMIS BERADA DALAM ZON SELAMAT - AIMAN ATHIRAH

10/06/2024 03:15 PM

ALOR SETAR, 10 Jun (Bernama) -- Penubuhan Organisasi Keselamatan Kebakaran (OKK) di premis yang telah ditetapkan dapat memastikan ruang premis berada dalam zon selamat dan kondusif, selain dapat mengelakkan kesan yang lebih serius jika berlaku kebakaran.

Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Aiman Athirah Sabu berkata penubuhan OKK merupakan satu daripada keperluan yang disyaratkan bagi mendapatkan perakuan bomba atau fire certificate (FC).

"OKK ada kemahiran kawal kebakaran di peringkat awal jika berlaku kebakaran di sesebuah premis antaranya membantu kosongkan premis sebelum pihak bomba sampai," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Seminar OKK Bagi Premis Ditetapkan Tahun 2024 dekat sini hari ini.

Beliau berkata penganjuran seminar oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah dan Perlis serta Human Resource Development Corporation (HRD Corp) hari ini, disertai lebih 600 peserta terdiri daripada pemilik premis serta badan profesional, dan seminar seumpama itu dilaksanakan di seluruh negara.

"Seminar ini memberikan pemahaman mendalam tentang undang-undang dan prosedur yang berkuat kuasa dan dijadikan medium mencipta jaringan dan jalinan kerjasama antara pihak jabatan-jabatan kerajaan, golongan profesional, badan-badan swasta dan pemain industri,” katanya.

Menurut Aiman Athirah, setakat ini terdapat 321 premis yang ditetapkan di Kedah dan Perlis pada 2024 yang terdiri daripada 42 agensi kerajaan dan 279 entiti swasta. 

"Daripada jumlah ini, 248 premis (77 peratus) mempunyai Sijil Perakuan Bomba yang sah, Notis FC6, Notis FC7 atau dalam proses permohonan," katanya.

Penubuhan OKK di premis ditetapkan merupakan satu daripada penambahan seksyen baharu iaitu Seksyen 27a dalam Akta Perkhidmatan Bomba 1988 (Akta 341).

Jika premis ditetapkan itu gagal untuk menubuhkan OKK, pemunya, penghuni atau orang yang mempunyai pengurusan keseluruhan terhadap premis ditetapkan boleh didenda hingga RM50,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya di bawah peruntukan seksyen dan akta yang sama.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan