EKONOMI > BERITA

MAA SEMAK SEMULA UNJURAN JUALAN KENDERAAN 2024 KEPADA 765,000 UNIT

16/07/2024 04:04 PM

KUALA LUMPUR, 16 Julai (Bernama) -- Persatuan Automotif Malaysia (MAA) telah menyemak semula unjuran jualan kenderaan bermotor baharu bagi 2024 kepada 765,000 unit daripada anggaran sebelumnya sebanyak 740,000 unit.

Presidennya, Mohd. Shamsor Mohd Zain berkata unjuran bagi jumlah jualan keseluruhan industri (TIV) itu terdiri daripada kuantiti kenderaan penumpang yang lebih tinggi iaitu sebanyak 696,150 unit dan kenderaan komersial yang lebih rendah iaitu 68,850 unit berbanding unjuran awal masing-masing pada 666,000 dan 74,000 unit sebelum ini.

“Faktor yang menyumbang kepada peningkatan TIV termasuk ekonomi domestik yang berdaya tahan. Keluaran Dalam Negara Kasar Malaysia berada pada kedudukan yang baik untuk berkembang dalam julat unjuran rasmi empat hingga lima peratus.

“Keputusan Bank Negara Malaysia untuk mengekalkan kadar dasar semalaman pada tiga peratus adalah satu lagi faktor utama yang akan mengekalkan pasaran automotif,” katanya pada sidang media hari ini.

Beliau berkata pesanan tertunggak yang banyak terutamanya dalam pasaran kenderaan penumpang segmen A ditambah dengan pelancaran lebih banyak model baharu oleh pemain baharu, menjadi faktor utama yang menyumbang kepada unjuran disemak semula itu.

"Kesinambungan strategi promosi agresif oleh ahli MAA yang menyediakan perkhidmatan nilai tambah serta lebih banyak pilihan kepada pelanggan akan membantu meningkatkan lagi permintaan," katanya.

Mohd Shamsor berkata TIV bagi tempoh Separuh Pertama 2024 meningkat sebanyak 6.6 peratus kepada 390,296 unit daripada 366,176 unit pada tempoh yang sama 2023, dengan kenderaan penumpang merupakan penyumbang kuantiti terbesar.

Menurutnya, jumlah pengeluaran industri bagi tempoh Separuh Pertama 2024 juga meningkat sebanyak 8.1 peratus kepada 392,052 unit daripada 362,535 pada 2023.

Sementara itu, MAA akan menganjurkan edisi ke-10 Kuala Lumpur International Mobility Show (KLIMS) 2024 dari 5 sehingga 11 Disember di Pusat Pameran Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), Kuala Lumpur.

Qube Integrated Malaysia Sdn Bhd, penyelaras KLIMS 2024 berkata seramai 250,000 pengunjung dijangka mengunjungi acara yang berlangsung selama tujuh hari itu.

Pengarah Acara Perniagaannya Yuhanis Latif berkata jenama automotif utama seperti Perodua, Proton, Toyota, Honda, Mitsubishi, dan Nissan telah mengesahkan penyertaan mereka di KLIMS 2024.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan