AM > BERITA

LIMA HAIWAN DI ZOO RIMBA RAZIA MATI AKIBAT CUACA PANAS

10/06/2024 04:03 PM

KUALA BERANG, 10 Jun (Bernama) -- Pemilik Zoo Rimba Razia di Kuala Berang rugi puluhan ribu ringgit selepas lima ekor haiwan mati dipercayai akibat cuaca panas yang berterusan sejak April lepas.

Datuk Seri Zakaria Abdul Razak berkata haiwan terbabit ialah capybara, alpaka, kanggaru, rusa bintik dan mata-mata iaitu spesies kura-kura air tawar yang berasal dari Brazil, selain lebih 100 spesies haiwan di zoo mini miliknya itu berdepan risiko strok haba akibat cuaca panas melampau hingga mencapai 40 darjah Celcius.

"Pihak kami telah mengambil pelbagai langkah bagi mengurangkan risiko strok haba seperti memasang sistem pemercik air, membesarkan kolam dan menambah ais bagi menurunkan suhu.

"Selain itu, kami juga memasang teduhan bagi mengelak sinaran matahari terkena terus kepada haiwan, namun masih ada yang mati," katanya ketika ditemui di zoo berkenaan di Kampung Dusun di sini hari ini.

Zakaria berkata bagi mengelak lebih banyak kematian pada musim panas, pasukan renjer mengambil inisiatif meningkatkan kekerapan pemantauan terutama pada siang hari bagi memastikan bekalan air untuk haiwan di zoo berkenaan mencukupi.

Beliau berkata hasrat untuk menambah haiwan di zoo itu terpaksa ditangguh sementara waktu memandangkan cuaca panas yang masih berlarutan.

Menurut Zakaria, sejak dibuka 15 Julai tahun lepas, sambutan yang diterima daripada pengunjung amat menggalakkan dan menjadi tarikan ekopelancongan yang menjana pendapatan sampingan untuk penduduk setempat dan negeri.

"Walaupun Rimba Razia terletak agak jauh iaitu kira-kira 50 kilometer dari Kuala Terengganu, ia tetap mendapat sambutan menggalakkan daripada pengunjung dari dalam dan luar negeri ini. Purata pengunjung pada musim cuti sekolah antara 800 hingga 1,000 orang sehari," katanya.

Beliau berkata harga tiket yang dikenakan juga sangat rendah iaitu RM20 bagi dewasa dan RM15 untuk kanak-kanak berusia bawah 12 tahun dan warga emas, selain pakej khas disediakan bagi rombongan sekolah dan berkumpulan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan