AM > BERITA

NRES RANGKA DASAR ATASI MASALAH PENCEMARAN LAUT

10/06/2024 04:49 PM

KUALA NERUS, 10 Jun (Bernama) -- Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) sedang merangka dasar sesuai dalam usaha mengatasi masalah pencemaran laut berikutan ramalan global bahawa jumlah sisa plastik di lautan akan melebihi jumlah ikan menjelang 2050.

Menteri berkenaan Nik Nazmi Nik Ahmad berkata ini termasuk kemungkinan memperkenalkan undang-undang di peringkat nasional bagi mengurangkan penggunaan plastik sekali pakai.

Beliau berkata dasar itu penting bagi memastikan masalah pencemaran plastik khususnya di laut dapat ditangani secara lebih berkesan.

“Kerajaan telah mengambil beberapa inisiatif mengatasi masalah ini seperti Pelan Hala Tuju Malaysia Ke Arah Sifar Penggunaan Plastik Sekali Guna 2018-2030 dan Rangka Kerja Pelestarian Plastik Malaysia 2021-2030,” katanya kepada pemberita selepas hadir Jelajah Kelestarian Alam di Universiti Malaysia Terengganu  (UMT) di sini hari ini.

Menurutnya kerajaan juga mengambil inisiatif memasang perangkap sampah di muara sungai sebagai alternatif menghalang aliran sisa itu ke laut.

"Mengenai perangkap sampah ini, kita berusaha untuk mengumpulkan sebanyak mungkin (sampah)  tetapi terdapat hadnya. Selain itu, ia juga memerlukan penyelenggaraan secara berkala untuk menjaga kebersihan. Jika tidak, masalah banjir dan sebagainya boleh timbul dan ini memerlukan kita memikirkannya semula,” katanya.

Nik Nazmi berkata lambakan sampah di lautan antaranya berpunca daripada sikap tidak bertanggungjawab orang ramai membuang sampah ke sungai atau laut, malah terdapat kontraktor kerja pembersihan sengaja membuang sampah ke dalam sungai sebelum ia hanyut ke lautan.

Sementara itu pada program hari ini, NRES dengan kerjasama Yayasan Penyelidikan Antartika Sultan Mizan (YPASM) menganjurkan Jelajah Kelestarian Alam dan UMT menjadi lokasi pertama jelajah itu sebagai usaha mendekati golongan belia berhubung isu kelestarian alam. 

Pada program sama UMT melancarkan Pertubuhan Lautan Mampan Malaysia (SOA Malaysia) yang diketuai pemimpin belia universiti itu dengan fokus memperkasakan dan membimbing pemimpin muda di Malaysia selain membawa misi ‘Lautan Bebas Sampah’.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan