AM > BERITA

DEBAT ANTIRASUAH PUPUK INTEGRITI MAHASISWA, EJEN SEBAR LUAS BAHAYA RASUAH

12/06/2024 08:14 AM

SERI ISKANDAR, 11 Jun (Bernama) -- Golongan mahasiswa mampu menjadi ejen bagi menyebarluaskan kefahaman tentang bahaya rasuah. 

Naib Canselor Universiti Teknologi PETRONAS (UTP) Datuk Dr Mohamed Ibrahim Abdul Mutalib berkata adalah penting bagi sesebuah universiti membentuk mahasiswa dan mahasiswi yang berintegriti supaya tidak mengalami kejutan budaya serta terdedah kepada kandungan negatif termasuk mencari pendapatan lumayan dengan cara singkat. 

"Kita perlu ingat bahawa kesan akhir daripada tindakan mencari pendapatan lumayan dengan cara singkat adalah penyebab kepada terjebaknya dengan kejadian jenayah dan apa yang pasti jenayah itu akan memungkinkan berlakunya implikasi perundangan," katanya ketika berucap pada Pertandingan Akhir Debat Antirasuah Institusi Pengajian Tinggi Pesuruhjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2024 di sini baru-baru ini. 

Beliau berkata pertandingan debat yang dianjurkan ini adalah bukti jelas mahasiswa-mahasiswi negara tidak hanya bersemangat memperjuangkan kebenaran, tetapi juga memastikan integriti dan kejujuran terpelihara pada semua lapisan masyarakat. 

Tegasnya melalui pertandingan itu, ia bukan sahaja menyaksikan bakat-bakat debat yang cemerlang, tetapi juga menyaksikan semangat kejujuran dan kebertanggungjawaban yang ditanam dalam diri setiap peserta.

Pertandingan debat kali ini yang merupakan anjuran bersama SPRM, Majlis Debat Universiti-Universiti Malaysia (MADUM), UTP, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan Angkatan Mahasiswa Anti Rasuah (AMAR).

Ia merupakan penganjuran kali kelima sejak pertama kali diadakan pada tahun 2019 yang bertujuan membentuk mahasiswa agar sentiasa peka dengan keadaan semasa dan lebih berani menyuarakan pendapat mereka berkenaan isu rasuah serta integriti.

Sebanyak 40 pasukan terlibat dalam pertandingan ini yang membabitkan seramai 160 peserta daripada 27 Universiti Awam, Universiti Swasta, Institut Pendidikan Guru (IPG), Institusi Pendidikan MARA (IPMa), Politeknik, dan Kolej Komuniti. 

Pertandingan berlangsung selama tiga hari bermula 7 Jun bagi kesemua peringkat iaitu pusingan awal, suku akhir, separuh akhir, dan akhir di Kompleks Canselor UTP dekat sini.

Sementara itu, Mohamed Ibrahim Abdul Mutalib berkata dalam melahirkan graduan global yang serba boleh, UTP sentiasa menerapkan nilai-nilai integriti kepada pelajar-pelajarnya.

Pertandingan debat ini adalah platform terbaik bukan sahaja untuk memupuk nilai integriti malah dapat mengasah kemahiran mahasiswa berfikir secara kritis dan berani menyuarakan pendapat mereka mengenai isu-isu penting seperti rasuah dan integriti.

"Kami di UTP berbangga dapat menjadi tuan rumah dan bekerjasama dalam usaha murni ini,” katanya.

Pasukan dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dinobat juara pertandingan debat kali ini menewaskan pasukan dari Universiti Malaya (UM). 

Pasukan juara itu bertindak sebagai pihak pembangkang menerusi usul bertajuk "Dewan Ini Menyanggah Penglibatan Saudara Mara atau Sekutu Bagi Ahli Dewan Undangan Negeri, Ahli Parlimen dan Anggota Pentadbiran Dalam Perolehan Tender dan Projek Dari Kerajaan". 

Selaku juara, UKM yang diwakili Muhammad Iman Azhar, Muhammad Badrul Naim Besri, Hafiz Hafizi Norependi dan Nur Kasih Aerysa Zakaria membawa pulang hadiah wang tunai RM14,000, piala pusingan, piala iringan, sijil dan buku tajaan DBP.

UM selaku naib Juara membawa pulang wang tunai RM6,000, piala iringan, sijil serta buku tajaan DBP.

Pendebat terbaik pula dirangkul Hafiz Hafizi yang membawa pulang wang tunai RM1,500.

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan