AM > BERITA

PENYASARAN SUBSIDI DIESEL: PENGUSAHA BAS TIDAK SEPATUTNYA NAIKKAN KADAR TAMBANG - LOKE

11/06/2024 04:46 PM

GEORGE TOWN, 11 Jun (Bernama) -- Pengusaha bas ekspres dan bas sekolah tidak sepatutnya menaikkan kadar tambang susulan penyasaran subsidi diesel di Semenanjung, menurut Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook.

Beliau berkata hal ini kerana subsidi diesel terus diberikan kepada golongan itu menerusi kad fleet diesel bersubsidi di bawah Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS).

''… tidak sepatutnya berlaku (kenaikan tambang), subsidi diesel terus diberikan kepada pengusaha bas ekspres dan bas sekolah.

"Mereka tidak terkesan dari segi kenaikan harga diesel sebab pengusaha bas sekolah, bas ekspres ini sudah sedia terima subsidi. Jadi apa yang mendorong mereka menaikkan harga tambang," katanya pada sidang media selepas merasmikan 57th Asean Senior Transport Officials Meeting (STOM) di sini hari ini.

Loke mengulas khabar angin berkaitan kemungkinan berlaku kenaikan tambang bas ekspres, bas sekolah dan bas persiaran susulan pengumuman kenaikan harga diesel di Semenanjung yang melebihi 50 peratus bermula pada Isnin.

Menurut Loke kadar tambang bas ekspres tidak boleh dinaikkan sesuka hati kerana ia adalah di bawah seliaan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD).

''Bagi bas sekolah, kita tidak kawal harganya cuma kita galakkan perbincangan antara pengusaha bas sekolah dengan pihak Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG).

“Bas persiaran pula adalah untuk kegunaan pelancong asing dan bagi tujuan pelancongan bukannya kegunaan harian, jadi tidak ada subsidi untuk sektor pelancongan.

''Kos pelancongan di negara kita memang cukup kompetitif, mungkin ada sedikit kenaikan kos untuk pelancong asing namun saya rasa ia boleh diterima mereka," katanya.

Sementara itu, Loke berkata beliau bersedia memberi taklimat khusus kepada Tun Dr Mahathir Mohamad berkaitan Projek Rapid Transit System Link (RTS Link) antara Johor Bahru dan Singapura, susulan kenyataan bekas Perdana Menteri itu terhadap projek berkenaan. 

Menurut Loke beliau menghormati Dr Mahathir sebagai pemimpin negara namun segala pandangan tentang projek berkenaan mesti berdasarkan fakta yang tepat.

"Saya tidak tahu sama ada beliau (Dr Mahathir) dapat maklumat benar atau tidak, tetapi biarlah bercakap berdasarkan fakta. Untuk mengatakan bahawa tidak ada pendedahan mengenai RTS, ini tidak betul.

''Kalau Tun mahu maklumat lengkap saya bersedia bagi taklimat khusus kepada beliau," katanya.

Semalam, Dr Mahathir dalam hantaran menerusi laman X mengulas berkaitan projek RTS Link yang sedang rancak dibina namun menyatakan tidak banyak laporan tempatan mengenai projek berkenaan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan