AM > BERITA

PENERUSAN SUBSIDI BERKAITAN DIESEL PELIHARA KEBAJIKAN RAKYAT

17/06/2024 03:33 PM

KUALA LUMPUR, 17 Jun (Bernama) -- Langkah meneruskan subsidi berkaitan diesel untuk mengurangkan impak kenaikan harga bahan api itu menunjukkan kesungguhan kerajaan dalam menjaga kebajikan rakyat.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata kenaikan harga itu tidak dapat dihalang, justeru, pemantauan dan penguatkuasaan undang-undang sedia ada sangat penting untuk membanteras sebarang kegiatan mengaut keuntungan dan penyelewengan oleh syarikat-syarikat.

Berikutan itu, beliau memuji usaha berterusan dan gigih kerajaan dalam membanteras penyeludupan diesel di samping terus menangani isu bekalan dan kos sara hidup.

Bagaimanapun, beliau berpendapat kerajaan perlu merancang suatu strategi komunikasi supaya mesej mengenai rasionalisasi subsidi bahan api dapat difahami rakyat, selain menjelaskan ke mana penjimatan daripada pelaksanaan langkah itu disalurkan serta hasil yang dijangkakan.

“Antara hasil yang dapat kita jangkakan termasuk infrastruktur lebih baik di sekolah-sekolah seperti perabot, peralatan elektrik dan makmal sains yang akan menambah baik pengalaman pembelajaran dalam kalangan pelajar serta memberi motivasi kepada guru-guru supaya lebih efektif dalam pengajaran mereka,” katanya kepada Bernama ketika dihubungi hari ini.

Mohd Afzanizam berkata penjimatan daripada penyasaran subsidi itu dapat disalurkan kepada sektor penting seperti kesihatan bagi perkhidmatan penjagaan kesihatan yang lebih baik di fasiliti awam.

“Semua ini akan meningkatkan produktiviti negara memandangkan kita dapat menjana tenaga buruh yang cekap yang mendapat permintaan tinggi daripada majikan. Kesihatan yang baik turut meningkatkan produktiviti kerana pekerja yang sihat bermakna mereka boleh bekerja secara lebih efektif dan efisien.

“Ini semua ialah faedah dan hasil yang perlu dimaklumkan secara jelas kepada semua rakyat Malaysia supaya mereka faham mengapa keputusan sukar (rasionalisasi subsidi bahan api) harus dibuat,” katanya.

Beliau berpendapat komunikasi mengenai isu itu haruslah meliputi semua lapisan masyarakat dengan kaedah bersesuaian seperti penggunaan bahasa yang mudah difahami untuk komuniti luar bandar dengan penekanan pada mesej utama.

Sementara bagi golongan yang berpendidikan tinggi, katanya penjelasan perlulah berdasarkan data dan fakta.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini berkata kerajaan masih menanggung sekitar RM7 bilion subsidi berkaitan diesel di Semenanjung Malaysia,

Anwar menjelaskan subsidi tidak dihapuskan, tetapi apa yang dilakukan adalah memastikan pengurusan subsidi yang lebih cekap, tidak tiris dan sampai kepada kumpulan rakyat yang selayaknya.

Beliau juga berkata hasil penjimatan daripada penyasaran subsidi tentunya akan dikembalikan kepada rakyat dalam bentuk pendidikan, kesihatan, pengangkutan awam dan lain-lain sektor yang memberi dampak terbesar kepada rakyat.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca) Saravanan Thambirajah berkata pihaknya mahu penyasaran subsidi diesel itu dilaksanakan dengan lebih cekap kerana ramai yang masih keliru tentang bantuan itu.

Menurutnya banyak industri yang tidak mengetahui sama ada mereka layak menerima subsidi tersebut selain berharap subsidi itu sampai kepada golongan yang benar-benar layak seperti B40 dan peniaga kecil.

Pada 9 Jun lepas, Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan mengumumkan harga diesel di semua stesen runcit Semenanjung ditetapkan pada kadar RM3.35 bagi setiap liter iaitu harga pasaran tanpa subsidi berdasarkan purata bulan Mei 2024 mengikut formula Mekanisme Harga Automatik bermula 10 Jun.

Beliau berkata penetapan harga dan pelaksanaan subsidi diesel secara bersasar dapat memberikan penjimatan RM4 bilion setahun di samping mengukuhkan kedudukan kewangan negara untuk jangka masa panjang. 

Amir Hamzah berkata untuk tempoh seterusnya harga diesel akan diumumkan setiap minggu mengikut amalan semasa Kementerian Kewangan dan kerajaan akan terus memantau keadaan bagi mengelak ketidakstabilan harga.

Bagaimanapun penyasaran subsidi itu tidak melibatkan pengguna di Sabah dan Sarawak.

-- BERNAMA

 

 

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan