AM > BERITA

TAK PINJAM ALONG, TAPI RUMAH KENA BALING BOM PETROL

11/06/2024 06:27 PM

AYER TAWAR, 11 Jun (Bernama) -- Satu keluarga di Taman Bintang 1, Pantai Remis kini hidup dalam kebimbangan dan trauma apabila rumah mereka disimbah cat merah dan dibaling bom petrol lebih lapan kali oleh konco ceti haram atau along yang menuntut hutang. 

Ng Jia Heng, 23, yang bekerja sebagai kontraktor mendakwa dia dan ahli keluarganya teraniaya kerana tidak pernah meminjam dengan mana-mana ceti haram, malah terpaksa menanggung malu selain mengalami kerugian akibat kejadian tersebut. 

Beliau berkata kejadian pertama berlaku sekitar Januari tahun lepas apabila rumah jirannya disimbah cat merah dan kejadian sama berulang 10 Mac lalu selain pada 17 Mac pula dibaling mercun sekitar jam 2.30 pagi. 

"Kejadian keempat berlaku pada 24 Mac jam 1.44 pagi apabila pelaku melemparkan bom petrol yang menyasarkan rumah kami namun telah terkena rumah jiran, manakala pada 5 April lepas sekitar 2.55 pagi satu lagi bom petrol telah dilemparkan ke rumah kami dan kali ini pintu kereta disasarkan. 

"Kami sekali lagi diganggu pada 12 Mei jam 1.42 pagi apabila dua bom petrol dilemparkan selain meninggalkan nota "hutang duit wajib bayar, bayar semula duit itu kalau tiada wang suruh keluarga bayar dan hubungi saya untuk membayar hutang. Awak penipu besar susah saya cari awak, RM80,000 hutang di Raub, saya tunggu awak datang" yang membuatkan kami termenung siapakah ceti haram ini maksudkan," katanya dalam sidang media di Pusat Khidmat Masyarakat Parlimen Beruas di sini hari ini.

Turut hadir Ahli Parlimen Beruas Datuk Ngeh Koo Ham dan ahli keluarga Jia Heng. 

Jia Heng menambah, kini beliau khuatir akan keselamatan ahli keluarganya apabila kumpulan itu kini lebih agresif dan tidak takut walaupun beliau telah memasang kamera litar tertutup (CCTV). 

"Pada 3 Jun lalu jam 1.45 pagi, rumah kami telah dilempar tiga bom petrol dan dua mercun dan terbaharu kejadian pada 5 Jun dengan kali ini mereka melemparkan lapan bom petrol dalam kejadian1.52 pagi. 

"Saya telah buat empat laporan polis pada 10 dan 23 Mac serta kejadian 3 dan 5 Jun dan kami amat berharap pihak polis dapat membantu menyelesaikan masalah ini," katanya. 

Sementara itu, Ngeh turut meminta siasatan lebih menyeluruh dilakukan memandangkan perlakuan pihak yang membuat perbuatan khianat dilihat lebih agresif jika tidak dibendung.

"Saya difahamkan pengadu sendiri mahu menyelesaikan apa jua perkara berbangkit namun pengadu bingung kerana tidak tahu perlu berurusan dengan siapa, mereka tidak mahu hidup dalam ketakutan.

"Jadi saya harap pihak berkuasa dapat mengambil tindakan tegas ke atas pihak terbabit supaya keadaan tidak menjadi semakin serius untuk elak kemalangan melibatkan nyawa manusia," katanya.

-- BERNAMA



 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan