EKONOMI > BERITA

BANK DIGITAL ISLAM AEON BANK DIJANGKA PEROLEH PULANGAN MODAL DALAM LIMA TAHUN -- AEON CREDIT

20/06/2024 07:11 PM

KUALA LUMPUR, 20 Jun (Bernama) -- Bank digital Islam yang baru dilancarkan oleh Aeon Bank (M) Bhd dijangka akan mencapai titik pulang modal dalam tempoh lima tahun, menurut Aeon Credit Service (M) Bhd.

Pengarah Urusan Aeon Credit, Daisuke Maeda berkata walaupun terdapat persaingan dalam kalangan bank digital, produk baharu itu mendapat respons yang memberangsangkan daripada pendeposit.

“Kami mempunyai kehadiran pasaran yang kukuh. Pusat beli-belah Aeon terkenal di seluruh negara dan Aeon Credit mempunyai pangkalan pelanggan yang besar.

“Ini memberikan kami kelebihan ketara dalam menawarkan produk kewangan yang menarik," katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Agung Tahunan ke-27 Aeon Credit hari ini .

Bulan lepas, Aeon Bank, yang dimiliki secara bersama oleh Aeon Financial Service Ltd dan Aeon Credit, melancarkan bank digital Islamik pertama di Malaysia, dengan tujuan untuk menyediakan penyelesaian perbankan digital patuh Syariah yang selamat, ringkas serta inklusif kepada rakyat Malaysia.

Sementara itu, Aeon Credit melalui satu kenyataan berasingan mengumumkan pendapatannya meningkat sebanyak 16.6 peratus kepada RM1.91 bilion dalam tahun kewangan 2024 yang berakhir pada 29 Februari 2024 berbanding RM1.64 bilion yang dicatatkan pada tahun kewangan 2023.

Peningkatan ini didorong oleh jumlah transaksi serta pembiayaannya yang menokok sebanyak 16.9 peratus dari tahun ke tahun kepada RM7.30 bilion.

"Oleh itu, keuntungan sebelum cukai bertambah kepada RM565.17 juta, manakala keuntungan selepas cukai mencapai paras tertinggi baharu sebanyak RM424.02 juta," katanya.

Melangkah ke hadapan, Pengerusi Aeon Credit Ng Eng Kiat berkata syarikat itu akan berusaha untuk mencapai keputusan kewangan yang lebih baik pada tahun-tahun akan datang.

“Ini sebahagian besarnya bergantung kepada persekitaran makroekonomi, kami akan melakukan yang terbaik bagi mencapai keputusan yang positif dan sejak lima tahun lepas telah menunjukkan bahawa kami mampu mengekalkan prestasi kami," tambahnya lagi.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan