AM > BERITA

MITI AKAN RANGKA INSENTIF KHAS UNTUK PUSAT DATA AI - TENGKU ZAFRUL

11/06/2024 06:37 PM

KUALA LUMPUR, 11 Jun (Bernama) -- Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) akan merangka insentif khas untuk pusat data kecerdasan buatan (AI), kata menterinya Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.

Beliau berkata pusat data AI membawa limpahan ekonomi yang amat jelas dan memberangsangkan.

“Pelaburan dalam infrastruktur teknologi termaju dan pusat data AI berupaya menyokong komitmen Kerajaan MADANI untuk mempercepatkan agenda transformasi digital negara dalam segenap aspek, di samping melancarkan lagi usaha peralihan kepada ekonomi berpendapatan tinggi.

“Bagi tempoh 2021 - 2023, Malaysia telah meluluskan pelaburan dalam pusat data dan perkhidmatan awan berjumlah RM114.7 bilion, dengan 2,325 peluang pekerjaan baharu bernilai tinggi dalam bidang kepakaran khusus, seperti saintis data, penganalisis data, jurutera data, penganalisis keselamatan siber dan jurutera rangkaian,” katanya dalam satu hantaran di laman X (sebelum ini dikenali sebagai Twitter), hari ini.

Sehubungan itu, katanya, MITI akan memastikan Malaysia kekal sebagai destinasi pelaburan pilihan bagi pusat data AI.

“Majlis Pelaburan Negara telah bersetuju supaya Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) menyediakan kerangka insentif, termasuk penggunaan peralatan cekap tenaga dan air, serta tenaga boleh baharu yang mencukupi bagi memudahkan pelaburan pusat data AI di Malaysia,” kata Tengku Zafrul.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan