AM > BERITA

MESYUARAT JAWATANKUASA KHAS SETUJU CADANGAN PINDAAN AKTA PENAGIH DADAH - AHMAD ZAHID

11/06/2024 07:19 PM

KUALA LUMPUR, 11 Jun (Bernama) -- Mesyuarat Jawatankuasa Khas Bagi Membincangkan Cadangan Pindaan Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983 hari ini bersetuju dengan cadangan pindaan dan syor-syor yang dikemukakan terhadap Seksyen 8 akta itu.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang mempengerusikan mesyuarat berkenaan berkata pindaan terbabit memberi keutamaan kepada mana-mana pihak yang ingin mendapatkan rawatan dan pemulihan. 

Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata mesyuarat itu memperhalus dan membincangkan beberapa perkara penting khususnya berkenaan pindaan Seksyen 8 akta itu yang merujuk kepada rawatan dan pemulihan kepada penagih atau individu yang menyalahgunakan dadah atau bahan bagi mendapatkan rawatan secara sukarela.

"Perkara ini akan dibawa ke mesyuarat Jemaah Menteri sebelum dibentangkan ke Parlimen untuk dimuktamadkan," katanya menerusi hantaran di laman Facebook hari ini.

Menurut Ahmad Zahid, mesyuarat berkenaan diadakan susulan keputusan mesyuarat Jemaah Menteri pada 30 April lepas yang bersetuju supaya satu Mesyuarat Jawatankuasa Khas diwujudkan melibatkan Kementerian Dalam Negeri dan Kementerian Kesihatan bagi membincangkan cadangan pindaan akta itu. 

"Semoga usaha kedua-dua kementerian dalam menguruskan isu rawatan dan pemulihan dadah serta bahan dapat beroleh manfaat sebaiknya," katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan