AM > BERITA

PINDAAN PERLEMBAGAAN BERKAITAN ORANG ASLI DIJANGKA DIBENTANG PADA 2027

22/06/2024 08:25 PM

SEREMBAN, 22 Jun (Bernama) -- Pindaan Perlembagaan Persekutuan berkaitan kepentingan masyarakat Orang Asli dijangka dibentang di Parlimen selewat-lewatnya pada 2027.

Ahli Parlimen Cameron Highlands Datuk Ramli Mohd Nor berkata setakat ini, proses libat urus bersama masyarakat Orang Asli dan badan bukan kerajaan sedang giat dijalankan dan mendapat maklum balas yang positif.

Beliau berkata libat urus pindaan Perlembagaan Persekutuan bagi kepentingan masyarakat Orang Asli setakat ini dijalankan di Selangor, Kuala Lumpur, Pahang Barat, Perak dan Kedah.

"Selepas selesai semua libat urus, perkara ini akan di bawa kepada Perdana Menteri dan seterusnya, paling lewat (dibentangkan di Parlimen) sebelum penggal ke-15 ini tamat," katanya kepada pemberita pada Majlis Perhimpunan Perdana Batin dan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Orang Asli (JPKKOA) serta Penyerahan Inisiatif Geran JPKKOA Negeri Sembilan di sini hari ini. 

Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat itu berkata pindaan Perlembagaan Persekutuan itu akan melibatkan dua perkara.

"Dalam pindaan ini dicadangkan tanggungjawab menjaga Orang Asli diletakkan dalam jadual bersama iaitu kerajaan pusat dan kerajaan negeri kena jaga sebab banyak isu seperti tanah, perhutanan dan kebajikan Orang Asli.

“Kita juga melihat Perkara 153 iaitu kepentingan masyarakat dan bumiputera peribumi Sabah dan Sarawak namun tidak dimasukkan Orang Asli, jadi saya cadangkan untuk pindaan ini," katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan