AM > BERITA

DONALD LAWAN AHLI PERNIAGAAN BERANI, KREATIF DAN BERJAYA - ABANG JOHARI

18/06/2024 12:06 PM

KUCHING, 12 Jun (Bernama) -- Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg menyifatkan mendiang Donald Lawan sebagai seorang kreatif, berani mengambil risiko dalam bidang diceburi serta seorang ahli perniagaan berjaya dalam angkatan masyarakat Dayak.

Katanya Sarawak kehilangan seorang pemimpin dan tokoh perniagaan Dayak dan bumiputera yang mempunyai pendekatan baik dalam dunia perniagaan.

“Mendiang seorang yang berani mengambil risiko dalam apa sahaja bidang yang diceburi. Baru-baru ini beliau ada berjumpa saya, mengutarakan pendapat tentang sektor tenaga diperbaharui.

“Mendiang seorang yang sangat kreatif dalam perniagaan, kita kehilangan seorang ahli perniagaan Dayak dan bumiputera yang mempunyai pendekatan yang baik dalam dunia perniagaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas memberi penghormatan terakhir kepada mendiang bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Begunan itu di kediaman keluarga mendiang di Tabuan Jaya, di sini, hari ini.

Donald, 81, yang merupakan bapa kepada Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak Datuk Snowdan Lawan, meninggal dunia di sebuah pusat perubatan swasta di sini pada jam 6.38 petang semalam akibat masalah jantung.

Donald memenangi kerusi DUN Lingga pada 1987 sebelum berpindah ke DUN Bukit Begunan dan menang di kawasan berkenaan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) pada 1991 serta mempertahankan kerusi DUN itu pada PRN pada 1996.

Sebagai seorang ahli perniagaan, mendiang terlibat dalam sektor penjualan kenderaan, perhotelan dan pembangunan hartanah.

Mendiang akan dikebumikan Sabtu ini di tanah perkuburan Nirvana Memorial Park pada jam 11.30 pagi selepas upacara sembahyang Kristian di Gereja Anglikan St. Faith di sini.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan