AM > BERITA

MOF, LADA BERI KETERANGAN LIMA SYOR PAC

12/06/2024 08:43 PM

KUALA LUMPUR, 12 Jun (Bernama) -- Kementerian Kewangan (MOF) dan Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) telah memberikan keterangan serta penjelasan yang terperinci berhubung lima syor yang dikemukakan dalam Laporan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC).

Pengerusi PAC Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata Timbalan Ketua Setiausaha Perbendaharaan (Pelaburan) Kementerian Kewangan Datuk Dr Shahrazat Ahmad dan Ketua Pegawai Eksekutif LADA Datuk Haslina Abdul Hamid memberikan keterangan itu pada prosiding tindakan susulan pembangunan hartanah LADA yang berlangsung lebih tiga jam bermula 10 pagi di Langkawi, hari ini. 

“Pada prosiding berkenaan, LADA telah mengaturkan satu lawatan kerja bagi membolehkan jawatankuasa ini meninjau dan melihat sendiri tindakan susulan yang telah diambil agensi berkenaan terhadap syor-syor yang terkandung dalam Laporan PAC yang telah dibentangkan di Parlimen pada 19 Mac lepas.

“Hasil lawatan kerja serta penjelasan dan keterangan daripada saksi dalam prosiding tindakan susulan berkenaan, PAC mengambil maklum usaha positif yang diambil LADA dan MOF bagi memastikan Langkawi terus menjadi destinasi geopelancongan (geotourism) utama di rantau ini sekali gus menjadi tumpuan pelancong dunia,” katanya dalam kenyataan di sini.

Mas Ermieyati berkata PAC juga turut dibawa melawat produk pelancongan terkini selain dimaklumkan perancangan masa depan LADA untuk memperhebatkan promosi Langkawi termasuk menyediakan kemudahan awam yang baharu.

Syor berkenaan termasuk MOF dan LADA mengambil tindakan segera bagi memuktamadkan status tanah Hotel St. Regis Langkawi dan MOF perlu mengemukakan pelan penyelamatan komprehensif Hotel St. Regis Langkawi kepada PAC. 

Syor lain adalah LADA perlu meningkatkan tahap kompetensi pengurusan projek yang sedang dilaksanakan dan memastikan segala perancangan pembangunan dan promosi pelancongan pada masa akan datang ditadbir urus dengan baik, selain MOF perlu lebih efektif dalam memantau dan mengawal selia syarikat-syarikat Menteri Kewangan Diperbadankan (MKD) supaya tidak berlaku kecuaian yang boleh menjejaskan kepentingan kerajaan.

Mas Ermieyati berkata PAC akan memberikan ulasan bagi setiap maklum balas daripada MOF dan LADA berhubung lima syor berkenaan termasuk isu hartanah Hotel St. Regis serta Kampung Tok Senik.

Beliau berkata laporan tindakan susulan itu dijangka dibentangkan di Parlimen pada 27 Jun ini dalam Mesyuarat Kedua Dewan Rakyat yang bermula 24 Jun dan laporan boleh diakses di www.parlimen.gov.my/pac.

Menurut Mas Ermieyati, pada Mesyuarat Kedua Dewan Rakyat, PAC juga dijangka akan membentangkan tujuh lagi laporan membabitkan tiga laporan PAC serta empat laporan tindakan susulan.

Dalam perkembangan lain, PAC akan memulakan prosiding membabitkan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) pada 20 Jun ini dengan memanggil Kementerian Pertahanan dan pengurusan tertinggi LTAT. 

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan