AM > BERITA

JANGAN POLITIKKAN PROGRAM PENERANGAN KEWARGANEGARAAN - SAIFUDDIN NASUTION

14/06/2024 09:35 PM

KUALA LUMPUR, 14 Jun (Bernama) -- Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menggesa semua pihak supaya tidak mempolitikkan sebarang program taklimat dan penerangan berkaitan kewarganegaraan yang dianjurkan di pusat khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN).

Beliau berkata banyak pusat khidmat DUN sama ada diwakili wakil rakyat kerajaan atau pembangkang menerima permintaan daripada rakyat berkaitan permohonan kewarganegaraan antaranya melibatkan anak luar nikah, anak angkat, anak lahir luar negara atau ibu bapa berkahwin di luar negara.

“Janganlah ini dikalutkan sehingga menuduh satu gerakan tersusun untuk memberi warganegara secara borong,” katanya dalam sidang media selepas majlis Pemakaian Pangkat Secara Medan dan Posthumous di Pusat Latihan Polis (Pulapol) di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas mengenai majlis taklimat dan penerangan kewarganegaraan anjuran Pusat Khidmat DUN Stulang yang dijadual pada 30 Jun ini, ditangguhkan selepas mencetuskan kontroversi dan kecaman awam.

Saifuddin Nasution turut meminta semua pihak memberikan ruang kepada wakil rakyat untuk menjalankan tugas mereka.

“Pagi ini, saya menerima mesej daripada Ahli Parlimen di Kelantan yang menerima banyak aduan mengenai masalah kewarganegaraan. 

“Ini kerana kawasannya berdekatan dengan Thailand, banyak kes kahwin dengan warga tempatan. Jadi apabila wakil rakyat menganjurkan program seumpama ini, ia perlu dilihat daripada kaca mata yang jernih,” katanya.

-- BERNAMA


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan