AM > BERITA

RAJA PERMAISURI AGONG KURNIA SUMBANGAN AIDILADHA

15/06/2024 07:11 PM

KUALA LUMPUR, 15 Jun (Bernama) -- Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah berkenan mengurniakan sumbangan Aidiladha kepada 250 golongan miskin tegar dan miskin di Johor Bahru, Johor hari ini.

Sumbangan itu ialah kurniaan peribadi Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim serta barangan keperluan asas daripada Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ).

Menurut hantaran Facebook rasmi Sultan Ibrahim, majlis pengurniaan sumbangan itu berlangsung di Dewan Kenanga Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB), anjuran bersama Persatuan Suri dan Anggota Wanita Perkhidmatan Awam Malaysia (PUSPANITA) dan MAINJ.

Turut berangkat mengiringi Raja Permaisuri Agong ialah Che’ Puan Mahkota Khaleeda Johor.

Hadir sama, Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi, Setiausaha Kerajaan Negeri Johor Tan Sri Datuk Dr Azmi Rohani dan Pegawai Daerah Johor Bahru Muzaldin Mohamed bersama isteri masing-masing.

Sementara itu, Muzaldin dalam ucapan menjunjung kasih atas kurniaan daripada Yang di-Pertuan Agong berkata sumbangan berkenaan mempamerkan hubungan erat antara istana dan rakyat.

"Patik bagi pihak penerima sumbangan menjunjung kasih kepada Seri Paduka Baginda. Semoga keprihatinan Seri Paduka Baginda kepada golongan yang memerlukan akan menjadi ikutan kepada seluruh rakyat,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan