AM > BERITA

74 JEMAAH HAJI MALAYSIA YANG SEDANG MENERIMA RAWATAN DIBAWA IKUTI SAFARI WUKUF

16/06/2024 02:04 PM
Daripada Noor Shamsiah Mohamed @ Ismail

 

MAKKAH, 16 Jun (Bernama) -- Seramai 74 jemaah haji yang sedang dirawat di Pusat Rawatan Tabung Haji dan hospital di sini dibawa melakukan ibadah wukuf di Padang Arafah menerusi program Safari Wukuf semalam. 

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar berkata kesemua pesakit dibawa dengan menggunakan bas khas yang telah diubah suai tempat duduknya menjadi seperti katil, untuk membawa pesakit kritikal ke Padang Arafah sebentar bagi menunaikan rukun haji kedua itu. 

"Alhamdulilah program safari wukuf berjaya dilaksanakan... mereka dibawa sebentar untuk wukuf (selepas waktu Zuhur),  tiba di sini (Padang Arafah) untuk jangka masa pendek.

“Semua jemaah ini kemudian akan segera dibawa kembali untuk rawatan," katanya ketika ditemui pemberita semalam. 

Sebelum itu Mohd Na’im yang diiringi Pengerusi Lembaga Tabung Haji (TH) Tan Sri Abdul Rashdi Hussain; Ketua Pegawai Eksekutif Tabung Haji Syed Hamadah Syed Othman turut menyantuni pesakit-pesakit yang sedang dirawat di klinik di khemah Padang Arafah. 

Turut serta Ketua Rombongan Haji Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman dan pengurusan tertinggi TH. 

Sementara itu Mohd Na'im turut meninjau pelaksanaan Program Prihatin Tetamu Ar-Rahman (PENEMAN)  di Arafah, yang melibatkan 50 jemaah haji dalam keadaan uzur kerana umur, kesihatan dan emosi, dan ditemani petugas yang terpilih menerusi inisiatif itu. 

"Seramai 50 jemaah haji yang uzur dipilih oleh satu jawatankuasa kaunseling dan setiap daripada mereka mempunyai peneman yang terdiri dalam kalangan petugas TH dengan berkonsepkan ‘one to one’. 

"Jemaah haji mengucapkan terima kasih atas inisiatif itu dan merasakan kebajikan, keselamatan dan kesihatan mereka terjaga, membolehkan mereka dapat menumpukan kepada ibadah," katanya.

Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada semua petugas yang terlibat dalam segala urusan haji bagi musim 1445H/2024M ini yang telah cuba sehabis baik untuk memastikan semua jemaah haji dapat melaksanakan ibadat wukuf semalam.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan