BERITA TERGEMPAR   PM Anwar ulangi pendirian Malaysia kekal tegas dalam isu Gaza | 
 AM > BERITA

PENJAWAT AWAM SELANGOR PERLU MESRA, SEDIA DENGAR MASALAH RAKYAT - TENGKU AMIR SHAH

19/06/2024 05:31 PM

SHAH ALAM, 19 Jun (Bernama) -- Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah hari ini bertitah semua penjawat awam yang berkhidmat di negeri ini perlu sentiasa mesra dan bersedia mendengar masalah dihadapi oleh rakyat.

Baginda bertitah sebagai aset penting kerajaan, penjawat awam perlu memastikan setiap dasar yang digubal dilaksanakan dengan cekap demi memastikan kesejahteraan dan kemakmuran rakyat dicapai.

"Sesungguhnya bagaimana elok sekalipun sesuatu dasar yang telah digubal, ia tidak akan bermakna atau mendatangkan sebarang manfaat kepada rakyat jika pelaksanaannya tidak cekap dan kurang berkesan.

“Beta berharap segala dasar yang hendak dilaksanakan tidak akan membebankan rakyat dan dasar itu perlulah mendatangkan manfaat kepada rakyat," titah baginda.

Tengku Amir Shah bertitah demikian ketika berkenan berangkat merasmikan Kompleks Pejabat Daerah dan Tanah Petaling, dekat sini sempena Program Gagasan Rumpun Selangor Daerah Petaling yang berlangsung selama tiga hari bermula hari ini.

Selaku pelaksana dasar, titah baginda rakyat menaruh harapan yang tinggi kepada pegawai kerajaan dan mereka perlu memahami masalah yang dikemukakan dan berusaha menyelesaikannya dengan adil tanpa mengira kaum, agama dan fahaman politik.

Tengku Amir Shah turut bertitah supaya pegawai daerah, pegawai dan petugas Pejabat Daerah bekerjasama dengan Orang Besar Daerah, yang mewakili Sultan Selangor di setiap daerah demi kemajuan negeri selain membantu mengatasi masalah yang dihadapi rakyat. 

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan