AM > BERITA

SULTAN SELANGOR BERKENAN TERIMA MENGHADAP MENTERI KOMUNIKASI

28/06/2024 01:00 PM

SHAH ALAM, 28 Jun (Bernama) -- Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan menerima menghadap Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil di Istana Bukit Kayangan dekat sini, semalam.

Sesi menghadap itu adalah bagi mempersembahkan Warkah Persilaan Ke Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong Ke-17 Sultan Ibrahim yang dijadualkan berlangsung di Istana Negara pada 20 Julai ini.

Fahmi merupakan Menteri Pengerusi Jawatankuasa Khas Acara-Acara Sempena Istiadat Pertabalan Agong.

Dalam hantaran menerusi laman Instagram Selangor Royal Official, Sultan Sharafuddin berkenan menerima warkah persilaan tersebut. 

Sultan Ibrahim telah melafaz dan menandatangani Surat Sumpah Jawatan sebagai Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong ke-17 pada 31 Jan lepas.

Pada 16 Mei lepas, Fahmi dilaporkan berkata kerajaan dengan titah perkenan Yang di-Pertuan Agong akan melaksanakan pelbagai acara sempena istiadat penuh simbolik itu yang berlangsung lima tahun sekali.

Antara acara tersebut ialah Majlis Bacaan Yasin dan Doa Selamat di Masjid Negara, Lawatan Raja Permaisuri Agong ke Hospital Orang Asli Gombak dan Pameran Raja Kita di Muzium Negara.

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan