AM > BERITA

PERDANA MENTERI CHINA BERLEPAS PULANG SELEPAS LAWATAN RASMI TIGA HARI KE MALAYSIA

20/06/2024 02:55 PM

SEPANG, 20 Jun (Bernama) -- Perdana Menteri China Li Qiang berlepas pulang selepas menamatkan lawatan rasmi tiga hari ke Malaysia hari ini.

Li diberikan sambutan permaidani merah bagi upacara berlepas pulang, serta kawalan kehormatan oleh pegawai dan anggota Batalion Pertama Rejimen Renjer Diraja (Infantri Istiadat) yang diketuai Kapten Nur Ahmad Zaim Zahari.

Penerbangan Air China yang membawa Li dan delegasinya berlepas dari Kompleks Bunga Raya Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini pada pukul 2.15 petang.

Hadir bagi mengucapkan selamat jalan kepada Li ialah Menteri Pengangkutan Anthony Loke dan Duta Besar Malaysia ke China Datuk Norman Muhamad, dan Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul.

Terdahulu Li menghadiri majlis makan tengah hari bersama dengan komuniti ahli perniagaan dari kedua-dua negara di Kuala Lumpur anjuran Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) serta Ministry of Commerce China (MOFCOM).

Dalam lawatan sulungnya ke Malaysia sejak memegang jawatan sebagai Perdana Menteri pada bulan Mac tahun lepas, Li mengadakan perjumpaan tertutup dengan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam bagi membincangkan perkara-perkara berkaitan hubungan dua hala antara Malaysia dan China, di samping saling bertukar pandangan mengenai isu-isu serantau dan antarabangsa yang mempunyai kepentingan bersama.

Kedua-dua pemimpin turut menyaksikan 14 memorandum persefahaman dan perjanjian (MoU dan MoA), melibatkan sembilan kementerian Malaysia.

Li turut mengadap Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim, dan menghadiri majlis pecah tanah Stesen Terminal Bersepadu Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) Gombak bersama Anwar.

Projek ECRL yang dijadualkan siap pada 2026 itu menjadi bukti kekukuhan hubungan dua hala antara Kuala Lumpur dan Beijing.

Laluan ECRL sepanjang 665km bermula dari Kota Bharu dan berakhir di Pelabuhan Klang akan melibatkan 20 stesen, termasuk 10 stesen penumpang dan 10 stesen yang menggabungkan pengangkutan barang dan penumpang.

Kedua-dua pemimpin turut menghadiri majlis makan malam sempena Ulang Tahun ke-50 Hubungan Diplomatik antara Malaysia dan China di Kuala Lumpur, dan saling bertukar buku mewah.

Li menghadiahkan Anwar buku bertajuk ‘50th Anniversary of China-Malaysia Diplomatic Ties Hand in Hand for Win-Win Cooperation’, manakala Anwar menyampaikan buku bertajuk ‘Ties that Bind’ kepada Li.

China merupakan rakan dagangan terbesar Malaysia sejak 2009. Tahun lepas jumlah perdagangan dengan China bernilai RM450.84 bilion (AS$98.80 bilion), mewakili 17.1 peratus daripada perdagangan global Malaysia.

Hubungan diplomatik antara kedua-dua negara telah wujud sejak Pernyataan Bersama Malaysia-China ditandatangani pada 31 Mei 1974 oleh Perdana Menteri Malaysia yang kedua Tun Abdul Razak dan Perdana Menteri China ketika itu Chou En Lai.

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan