EKONOMI > BERITA

PERJANJIAN LANGGANAN SAHAM DENGAN EMPAT PENGENDALI RANGKAIAN MUDAH ALIH SELESAI - DNB

28/06/2024 09:42 PM

KUALA LUMPUR, 28 Jun (Bernama) -- Digital Nasional Bhd (DNB) hari ini mengumumkan penyempurnaan perjanjian langganan saham (SSA) dengan empat pengendali rangkaian mudah alih (MNO).

Empat pengendali itu ialah CelcomDigi Bhd melalui Infranation Sdn Bhd, Maxis Broadband Sdn Bhd, U Mobile Sdn Bhd dan YTL Communications Sdn Bhd melalui YTL Power International Bhd, kata DNB dalam satu kenyataan hari ini.

Ia berkata di bawah terma SSA itu, empat MNO secara kolektif memperoleh kira-kira 65.1 peratus pegangan ekuiti dalam DNB, dengan setiap satu MNO berkenaan memegang kira-kira 16.3 peratus kepentingan.

“Kerajaan Malaysia yang diwakili Menteri Kewangan (Diperbadankan) (MoF Inc.) mengekalkan kira-kira 34.9 peratus pegangan dan Saham Khas dalam DNB untuk tempoh yang ditetapkan.

“Ini berikutan pemenuhan syarat-syarat terdahulu di bawah SSA pada 20 Jun, 2024 bagi keempat-empat MNO itu untuk meningkatkan pegangan ekuiti mereka dalam DNB,” katanya.

Bagi Telekom Malaysia Bhd (TM), tarikh yang mana syarat itu perlu dipenuhi ialah pada 21 Ogos, 2024.

DNB berkata dengan mengandaikan TM berjaya melengkapkan SSA, pegangan MoF Inc. akan berkurangan kepada 30 peratus, dengan MNO secara kolektif memegang 70 peratus pegangan dalam DNB.

Pada 1 Dis, tahun lepas, DNB dan MoF Inc. memeterai SSA dengan lima MNO, sekali gus membolehkan penyertaan MNO dalam DNB melalui pemilikan ekuiti.

DNB berkata ia kekal fokus dalam menyampaikan rangkaian 5G bertaraf dunia dan memacu penggunaan 5G di seluruh negara bagi merealisasikan aspirasi digital Malaysia.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan