AM > BERITA

LEBIH BANYAK LOJI BIOGAS BERPUSAT PERLU DIWUJUDKAN - CHAN

20/06/2024 04:07 PM

MUAR, 20 Jun (Bernama) -- Kementerian Perladangan dan Komoditi berharap lebih banyak loji biogas berpusat dapat diwujudkan oleh pemain industri dalam usaha memaksimumkan penggunaan sisa kelapa sawit bagi diproses untuk janaan tenaga boleh diperbaharui. 

Timbalan menterinya Datuk Chan Foong Hin berkata kemudahan itu mampu menjadi kaedah terbaik kepada sumber tenaga boleh diperbaharui di Malaysia menerusi penggunaan teknologi canggih terutama dalam menukar air kumbahan mentah minyak sawit kepada tenaga bersih. 

"Biogas dalam penjanaan tenaga adalah satu agenda transformasi antara pertanian dan teknologi yang semakin berkembang dan dalam konteks ini, loji berpusat semakin menjadi keperluan kerana kelapa sawit merupakan satu industri yang sangat besar di Malaysia. 

"Jadi mewujudkan satu pusat biogas di tengah-tengah kawasan antara beberapa pemilik ladang kelapa sawit ini secara tidak langsung membawa kepada skala ekonomi yang lebih optimum dan menjimatkan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Pusat Biogas Berpusat Pertama di Malaysia di Bukit Pasir di sini hari ini. 

Beliau berkata kawasan tertentu seperti Pagoh dan Muar dilihat sangat sesuai untuk mempunyai loji berpusat sedemikian kerana terdapat beberapa kilang sawit yang berada dalam radius 70 kilometer, yang lebih memberikan kos efektif kepada pengusaha kelapa sawit dalam menguruskan sisa kelapa sawit untuk dijadikan biogas. 

Chan berkata kaedah loji berpusat itu juga diharap dapat menggalakkan pemain industri supaya lebih cenderung membuat pelaburan bagi projek berasaskan penjanaan tenaga boleh diperbaharui. 

Beliau berkata projek pertama melibatkan kerjasama antara Text Cycle Technology (M) Bhd, Green Lagoon Technology Sdn Bhd, Sime Darby Plantation dan Hok Huat Group itu juga mampu menjadi perintis kepada pembangunan teknologi janaan tenaga boleh diperbaharui menerusi sisa kelapa sawit di negara ini. 

Dalam pada itu, loji biogas 3.5 megawatt itu telah menyumbangkan lebih 1.6 juta kilowatt-jam kepada grid nasional sejak April lepas. 

Chan berkata loji berpusat itu bukan sahaja menyumbang kepada pengurangan pelepasan karbon, tetapi juga membantu meningkatkan ekonomi setempat dengan mewujudkan peluang pekerjaan serta keselamatan tenaga. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan