SUKAN > BERITA

LAKUKAN YANG TERBAIK, NIKMATI PELUANG DEPAN MATA - WELSON

29/06/2024 02:19 PM

KUALA LUMPUR, 29 Jun (Bernama) -- Perenang negara Welson Sim berharap Khiew Hoe Yean menikmati peluang diperoleh dan mengelak daripada memberi tekanan berlebihan terhadap diri sendiri menjelang Sukan Olimpik Paris 2024, bulan depan.

Welson yang pernah beraksi pada edisi 2016 di Rio dan 2020 di Tokyo itu berharap atlet berusia 21 tahun mampu meraih pengalaman berharga pada penampilan sulungnya di pentas Olimpik kali ini.

“Saya akan katakan, nikmati masa ini kerana saya tidak begitu pada Sukan Olimpik pertama saya. Saya masih muda ketika itu dan sangat gementar, serta berasa tertekan dengan prestasi sendiri.

“Lakukan yang terbaik dan nikmati prosesnya. Nikmati sahaja prosesnya dan nikmati peluang menonton aksi perenang terbaik dunia dan lihat bagaimana mereka berenang, belajar daripadanya,” katanya kepada pemberita baru-baru ini.

Welson secara peribadinya berkata beliau yakin Hoe Yean akan mempamerkan prestasi terbaiknya berdasarkan prestasi terkini dalam beberapa kejohanan disertainya.

Hoe Yean yang juga pemegang rekod kebangsaan dalam beberapa acara akan bersaing dalam temasya berprestij dunia itu selepas menerima wild card berdasarkan mata dikumpul dalam ranking Akuatik Dunia.

Hoe Yean akan menyertai acara 400 meter (m) gaya bebas, manakala seorang lagi perenang yang turut dianugerahkan tiket wild card, Tan Rouxin beraksi dalam acara 100m kuak dada.

Sementara itu, mengulas mengenai karier sukan renangnya, atlet kelahiran Sarawak itu berkata beliau akan kembali ke kolam renang pada Ogos depan dan akan memberikan tumpuan persiapan ke Piala Dunia pada hujung tahun ini dan Sukan SEA di Thailand, tahun depan.

“Semua tertumpu kepada persiapan Olimpik dan kami berehat sementara. Akan kembali pada Ogos dan menjalani latihan ke Piala Dunia. Sasaran utama saya ialah Sukan SEA tahun depan,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan