AM > BERITA

PERSATUAN PEMILIK LORI SAMPAH P. PINANG MOHON LORI RIGID-RORO DISENARAI DALAM MYSUBSIDI DIESEL

20/06/2024 06:39 PM

NIBONG TEBAL, 19 Jun (Bernama) -- Persatuan Pemilik-pemilik Lori Sampah Pulau Pinang meminta kerajaan mempertimbangkan untuk memasukkan lori jenis Rigid-Roll on Roll Off (RORO) dalam sistem MySubsidi Diesel bagi membolehkan mereka mendaftar untuk mendapatkan subsidi diesel.

Pengerusinya Arif Ibrahim berkata ketiadaan jenis lori itu dalam senarai sistem menyebabkan beberapa syarikat terpaksa menanggung kos operasi yang tinggi berikutan lori mereka tidak layak menerima bantuan berkenaan.

"Isu sekarang adalah ada pemilik lori yang daftar di bawah kategori Rigid lori sampah automatik akan dapat kelulusan subsidi (diesel) tetapi bagi lori kategori sama (Rigid) tetapi jenis RORO tak dapat sebab jenis itu tiada dalam senarai sistem MySubsidi Diesel.

"Kecelaruan ini menyebabkan ada syarikat yang satu lori dapat (subsidi diesel), dua lagi tak dapat jadi bagaimana kami nak kekalkan harga operasi sedangkan kami perlu menanggung beban kos bukan saja bahan api tetapi lain-lain kos seperti alat ganti kerana kita perlu pastikan lori sentiasa dalam keadaan baik demi keselamatan selain gaji pekerja," katanya ketika ditemui selepas mengadakan perhimpunan bersama lebih 57 pemilik syarikat lori sampah sekitar Seberang Perai di sini hari ini.

Beliau berkata ketika ini, persatuan itu mempunyai 97 ahli dalam kalangan pemilik syarikat di seluruh Pulau Pinang dengan jumlah lori lebih daripada 100 buah.

Menurut Ariff, susulan itu kesemua ahli dalam persatuan telah sepakat untuk menaikkan harga bagi perkhidmatan mengangkut dan membuang sampah ke tapak pelupusan.

"Untuk sampah industri memang kita terpaksa naikkan harga iaitu bagi kawasan Seberang Perai biasanya kita kenakan caj antara RM250 ke RM280 untuk satu trip tetapi naik kepada RM300 manakala dari pulau nak bawa sampah untuk dilupuskan ke Pulau Burung kita kenakan RM350 daripada RM300 sebelum ini," katanya sambil menambah bilangan trip juga telah berkurangan daripada 90 kepada kira-kira 40 trip sebulan.

Sementara itu, Timbalan Pengerusi persatuan Ng Wei Liam berkata tujuan mereka mengadakan perhimpuan itu hanyalah kerana mahu meminta perhatian daripada kerajaan untuk menambah jenis lori Rigid-RORO dalam senarai pilihan dalam sistem MySubsidi Diesel.

Beliau bimbang sekiranya tiada tindakan segera diambil akan menyebabkan pihaknya menanggung lebih banyak kerugian yang akhirnya akan turut memberi kesan kepada keseluruhan operasi termasuk syarikat.

"Sekarang pun sudah rasa beban macam lori saya tiga tan sebelum ini isi penuh dalam RM150 sekarang naik 55 peratus jadi RM200 lebih dan kos itu perlu ditanggung sendiri," katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan