EKONOMI > BERITA

BIOECONOMY CORP SASAR PELABURAN BAHARU RM1.32 BILION DARI NBIOSHOWCASE 2024 - MOSTI

01/07/2024 08:36 PM

KUALA LUMPUR, 1 Julai (Bernama) -- Malaysian Bioeconomy Development Corporation Sdn Bhd (Bioeconomy Corp) menyasarkan untuk memudahkan potensi pelaburan baharu bernilai RM1.32 bilion pada Pameran dan Persidangan Bioekonomi Kebangsaan 2024 (NBiOSHOWCASE 2024), kata Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Chang Lih Kang.

Bioeconomy Corp adalah sebuah agensi di bawah Kementerian Sains, Teknologi, dan Inovasi (MOSTI).

Menteri itu berkata Bioeconomy Corp juga menyasarkan sumbangan daripada industri bioteknologi dan berasaskan bio sebanyak RM2 bilion kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara menjelang akhir tahun 2024.

“Beberapa pengumuman penting akan dibuat semasa acara ini berlangsung, termasuk pencapaian hebat dalam salah satu sasaran Dasar Bioteknologi Negara 2.0 yang membabitkan perubatan tempatan, serta pertumbuhan lanjutan bidang biosimilar di Malaysia," katanya pada sidang media di sini hari ini.

Terdahulu dalam ucapannya, Chang berkata pelaburan dan pendapatan yang disasarkan itu boleh dicapai berdasarkan perkembangan dan kerjasama yang signifikan yang dicatatkan dalam sektor bioteknologi kesihatan, industri, dan pertanian di Malaysia setakat ini.

Chang menyatakan dari Januari hingga Mei 2024, syarikat-syarikat bioteknologi dan berasaskan bio di Malaysia mencatatkan pelaburan baharu berjumlah RM838 juta dan pendapatan sebanyak RM1.5 bilion.

"Melalui NBiOSHOWCASE 2024, kita bukan sahaja bertujuan untuk menarik pelaburan dan kerjasama industri tetapi juga untuk memenangi hati rakyat Malaysia supaya mengguna pakai bioteknologi dalam kehidupan harian mereka,” katanya.

Tambahan pula Chang berkata sebanyak 11 memorandum persefahaman (MoU) dan kerjasama akan dimeterai di antara penggerak industri bioteknologi dengan pihak awam dan swasta, yang melibatkan syarikat-syarikat tempatan dan antarabangsa.

Dijadualkan berlangsung pada 17 hingga 18 Julai di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur, NBiOSHOWCASE 2024 adalah sidang kemuncak dan pameran industri bioteknologi dan berasaskan bio yang dianjurkan bersama oleh MOSTI dan Bioeconomy Corp.

Sementara itu, Naib Presiden Kanan Bahagian Sokongan Industri Bioeconomy Corporation Nora Mohamed berkata NBiOSHOWCASE 2024 melibatkan lebih 80 pempamer dan hampir 140 reruai yang akan memberi inspirasi, mendidik, dan membuka peluang baharu untuk semua pelawat menerokai dunia bioekonomi. 

"Di NBiOSHOWCASE, lebih kurang 15 buah syarikat berstatus BioNexus dan Pemecut Berasaskan Bio (BBA), serta syarikat daripada industri bioteknologi dan berasaskan bio akan mengadakan sesi temu duga terbuka secara terus (walk-in interview) di reruai ‘BioAcademy’. 

"Sesi temuduga terbuka dan program padanan pekerjaan melalui portal Biokerjaya di BioAcademy juga akan menawarkan lebih daripada 500 peluang pekerjaan dalam bidang bioteknologi dan berasaskan bio," katanya.

Nora berkata Bioeconomy Corporation menjangka seramai 4,000 pelawat menghadiri acara dua hari itu, dan majlis perasmian NBiOSHOWCASE 2024 akan disempurnakan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan