AM > BERITA

KESTABILAN POLITIK BANTU PEMIMPIN SARAWAK FOKUS KEPADA PEMBANGUNAN - ABANG JOHARI

21/06/2024 06:13 PM

SARIKEI, 21 Jun (Bernama) -- Keadaan politik yang stabil dan suasana kehidupan masyarakat pelbagai kaum yang aman, menjadi antara ramuan utama yang membolehkan pemimpin di Sarawak memberikan tumpuan penuh kepada program pembangunan negeri itu.

Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata keadaan itu juga membolehkan Sarawak mencapai visinya untuk menjadi sebuah wilayah berpendapatan tinggi, menjelang 2030.

“Kita dapat melaksanakan tugas dengan baik. Kita boleh fokus. Kalau keadaan politik kita tidak stabil, (pemimpin akan) sentiasa melihat ke belakangnya sahaja, takut orang nyetep you, you gugok (takut orang membentes anda dan anda jatuh),” katanya pada Majlis Perasmian Naik Taraf Masjid Al-Muttaqqin di sini, hari ini.

Abang Johari berkata kestabilan tersebut tercapai apabila kerajaan Sarawak mengambil pendekatan menjaga kebajikan rakyat, bukan sahaja mereka yang beragama Islam bahkan mereka yang bukan beragama Islam dengan penubuhan Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR).

Beliau berkata hasil daripada fokus yang diberikan terhadap pembangunan ini, Sarawak telah diiktiraf sebagai wilayah yang berpendapatan tinggi oleh Bank Dunia, dengan pendapatan terkininya mencecah RM13 bilion sehingga menimbulkan rasa cemburu sesetengah pihak.

Abang Johari berkata pada masa yang sama, Sarawak menekankan keseimbangan di dalam pembangunan yang dilaksanakannya dengan menumpukan perhatian kepada penjagaan alam sekitar.

“Inilah sebabnya Sarawak menumpukan kepada pengeluaran hidrogen sebagai tenaga yang boleh diperbaharui,” katanya sambil menambah usaha itu tidak terhenti di situ apabila kerajaan negeri sudah mula meneroka penghasilan elektrik hijau dengan menggunakan solar terapung, di Empangan Batang Ai.

Abang Johari berkata empangan tersebut berkeluasan 8,500 hektar dan sekiranya hanya 60 peratus sahaja digunakan, Sarawak dapat mengeluarkan sehingga 2,000 megawatt tenaga elektrik.

Menyentuh mengenai pembangunan di kawasan Lembah Rajang di kawasan tengah Sarawak, beliau berkata tiga jambatan iaitu Jambatan Batang Rajang, Jambatan Batang Lassa dan Jambatan Batang Paloh, dijangka siap tidak lama lagi.

Abang Johari berkata penyiapan infrastruktur ini akan membolehkan aktiviti ekonomi di kawasan itu ditingkatkan, khususnya dalam kegiatan penanaman padi berskala besar dengan menggunakan teknologi baru.

Sementara itu Masjid Al-Muttaqqin yang telah dinaik taraf dengan peruntukan RM9.5 juta itu, mampu menempatkan seramai 2,500 orang jemaah pada satu-satu masa dan Ketua Menteri turut mengumumkan peruntukan tambahan RM1.5 juta untuk menaik taraf pagar masjid berkenaan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan