AM > BERITA

MALAYSIA BAKAL BANGUNKAN INISIATIF KESIHATAN UNTUK CEGAH, KAWAL KANSER PARU-PARU

21/06/2024 08:28 PM

PETALING JAYA, 21 Jun (Bernama) --  Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata Malaysia sedang berusaha membangunkan Inisiatif Kesihatan Paru-Paru sebagai sebahagian daripada Pelan Strategik Kebangsaan bagi Program Kawalan Kanser 2021 hingga 2025.

Beliau berkata inisiatif ini membabitkan sektor awam, swasta dan ketiga yang berganding bahu untuk mencegah serta mengawal kanser paru-paru di Malaysia.

"Seperti yang diketahui ramai, kanser paru-paru adalah kanser ketiga paling biasa di Malaysia di mana 95 peratus daripada kes didiagnosis pada peringkat akhir iaitu tahap ketiga atau keempat.

"Inisiatif ini juga akan memperkukuh kawalan penggunaan produk tembakau termasuk rokok elektrik yang menjadi risiko utama kanser paru-paru terutama dalam kalangan kanak-kanak dan remaja," katanya dalam ucapan perasmian pelancaran Kongres Kanser Kebangsaan Malaysia (NCCM) 2024 di Universiti Sunway di sini hari ini.

Merujuk Laporan Globocan 2020 yang dikeluarkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia, Dzulkefly berkata dianggarkan sejumlah 19.3 juta kes baharu kanser adalah dari segi kejadian, 9.9 juta kematian dan 50 juta orang menghidap kanser dalam tempoh lima tahun selepas didiagnosis.

Beliau berkata Malaysia tidak terkecuali kerana jumlah kes kanser yang dilaporkan meningkat sebanyak 46.5 peratus bagi tempoh 2017 hingga 2021 berbanding 2012 hingga 2016.

"NCCM 2024 adalah selari dengan Pelan Strategik Kebangsaan kita bagi Program Kawalan Kanser 2021-2025 dengan menangani pencegahan dan kawalan kanser dari sudut pandangan yang holistik.

"Dengan memupuk kerjasama dan pertukaran pengetahuan dalam kalangan pakar serta pihak berkepentingan, kongres ini sudah pasti akan menyumbang kepada kejayaan pelaksanaan strategi kawalan kanser kebangsaan kita," katanya.

Kongres tiga hari itu, yang bermula hari ini dan berakhir 23 Jun depan, menawarkan platform khusus bagi perbincangan mendalam dan pertukaran pengetahuan dalam kalangan penceramah antarabangsa yang terkenal, profesional penjagaan kesihatan, penggubal dasar serta penyelidik.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan