AM > BERITA

AHLI PARLIMEN TASEK GELUGOR DIRUJUK KE JAWATANKUASA HAK DAN KEBEBASAN DEWAN RAKYAT

24/06/2024 02:43 PM

KUALA LUMPUR, 24 Jun (Bernama) -- Dewan Rakyat hari ini meluluskan usul bagi merujuk Ahli Parlimen Tasek Gelugor Datuk Wan Saifulruddin Wan Jan ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Dewan Rakyat susulan dakwaan pertuduhan kes mahkamah terhadapnya boleh dibatal dan digugurkan. 

Usul yang dicadangkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said itu diluluskan dengan lebih suara bersetuju. 

Azalina berkata usul untuk merujuk ke jawatankuasa itu adalah bagi menentukan sama ada kenyataan dibuat Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) berkenaan mengelirukan dewan dan merosakkan kepentingan pihak-pihak yang berbicara dalam kes tersebut.

Menurutnya pada 28 Feb dan 21 Mac lepas, Wan Saifulruddin telah menyatakan bahawa pertuduhan kes mahkamah terhadapnya boleh dibatal dan digugurkan seperti dalam Penyata Rasmi muka surat 41 pada 28 Februari dan Penyata Rasmi muka surat 38 dan 39 pada 21 Mac.

“Bahawa Dewan yang mulia ini memandang serius kenyataan Ahli Parlimen Tasek Gelugor di mana secara tersirat telah mendakwa bahawa ada individu yang konon bertindak bagi kerajaan boleh memanipulasi untuk membatal atau mengugur pertuduhan kes mahkamah terhadap Ahli Parlimen Tasek Gelugor.

“Bahawa perbuatan ini telah menunjukkan Ahli Parlimen Tasek Gelugor telah menyebut perkara yang sedang dalam timbangan mahkamah dan boleh dianggap merosakkan kepentingan pihak-pihak yang berbicara dalam kes tersebut,” katanya.

Azalina berkata jawatankuasa berkenaan boleh mengambil apa-apa keterangan yang difikirkan perlu dan selepas itu, hendaklah membuat syor dalam satu pertimbangan dewan.

Ketika membahaskan usul tersebut Syahredzan Johan (PH-Bangi) berkata walaupun seseorang Ahli Parlimen mempunyai kekebalan untuk membahaskan apa-apa isu ketika bersidang, ia tidak harus disalah guna dan perlu bertanggungjawab.

Malah katanya usul tersebut bukanlah untuk menghukum Ahli Parlimen terbabit sebaliknya satu proses yang wajar untuk menentukan jika terdapat unsur subjudis dalam perbahasannya. 

“Dalam jawatankuasa itu bukan sahaja di sebelah sini (kerajaan) sahaja, ada juga di sebelah sana (pembangkang). Saya percaya semua yang ada dalam jawatankuasa tersebut akan memberi ruang seluas-luasnya kepadanya untuk mempertahankan diri,” katanya. 

Dalam sidang media selepas itu, Wan Saifulruddin mendakwa usul berkenaan adalah ‘cacat’ dan tidak sepatutnya dibahaskan.

-- BERNAMA



 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan