AM > BERITA

MALAYSIA SENTIASA SOKONG USAHA HENTI KEKEJAMAN TERHADAP RAKYAT PALESTIN - MOHAMAD HASAN

24/06/2024 04:07 PM

KUALA LUMPUR, 24 Jun (Bernama) -- Malaysia sentiasa menyokong apa jua usaha dalam memastikan kekejaman terhadap rakyat Palestin ditamatkan, termasuk penyelesaian dua negara, dan yang penting ialah pembunuhan secara berterusan terhadap penduduk negara itu perlu dihentikan segera.

Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan berkata sehubungan itu negara menyokong cadangan usul yang dibawa oleh Amerika Syarikat (AS) pada 10 Jun lepas berkaitan rancangan gencatan senjata di Gaza.

“Alhamdulillah baru-baru ini satu cadangan penyelesaian gencatan senjata (melalui) tiga fasa yang ditaja oleh AS telah diluluskan Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) (UNSC) dengan undi (14 menyokong, satu berkecuali).

“Kita amat gembira kerana selalunya jika AS membuat usul di Majlis Keselamatan PBB, yang lain tidak akan menyokong,” katanya semasa menjawab soalan Tan Sri Abdul Hadi Awang (PN-Marang) pada sesi soal jawab dalam persidangan Dewan Rakyat, yang ingin tahu sejauh mana hasrat kerajaan untuk menyemak semula dasar penyelesaian dua negara bagi mempertahankan kedaulatan rakyat Palestin di Gaza.

“Sekarang ini kita nak lihat cara mana untuk kita pastikan kekejaman, pembunuhan terhadap (rakyat) Palestin ini diberhentikan, (kita menyuarakan perkara ini) atas apa jua platform... kita akan terus menyokong apa jua usaha termasuklah melalui penyelesaian dua negara,” tambahnya.

Pada 10 Jun lepas, UNSC meluluskan resolusi yang menyokong cadangan genjatan senjata Gaza yang diumumkan oleh Presiden Amerika Syarikat (AS) Joe Biden melalui tiga fasa.

Resolusi yang digubal ole AS itu disokong 14 daripada 15 negara anggota UNSC dengan Rusia mengambil pendirian berkecuali.

Fasa pertama mencadangkan gencatan senjata penuh dan lengkap selama enam minggu, dengan tentera Israel berundur dari semua kawasan berpenduduk di Gaza, manakala fasa kedua pembebasan semua tawanan yang masih ada di Gaza, di samping menghentikan konflik secara kekal, manakala fasa ketiga mencadangkan pelan pembinaan semula jangka panjang untuk Gaza dimulakan dengan pemulangan mayat tebusan yang telah meninggal dunia.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan