EKONOMI > BERITA

PERTUMBUHAN KREDIT KEPADA SEKTOR SWASTA BUKAN KEWANGAN KEKAL 5.4 PERATUS PADA MEI - BNM

28/06/2024 05:01 PM

KUALA LUMPUR, 28 Jun (Bernama) -- Pertumbuhan kredit kepada sektor swasta bukan kewangan terus kekal pada 5.4 peratus pada Mei 2024 apabila bon korporat meningkat manakala pertumbuhan pinjaman menurun, kata Bank Negara Malaysia (BNM).

Dalam soroton bulanan yang dikeluarkan hari ini, bank pusat berkata pertumbuhan pinjaman menurun kepada 5.7 peratus daripada 6.0 pada April 2024.

Bon korporat terkumpul meningkat sebanyak 4.0 peratus pada Mei berbanding 3.4 peratus pada April 2024.

“Pinjaman perniagaan terkumpul meningkat pada kadar yang lebih sederhana pada 4.8 peratus (April 2024: 5.6 peratus) dalam keadaan pertumbuhan pinjaman modal kerja yang lebih perlahan manakala pinjaman berkaitan pelaburan berkembang,” kata bank pusat.

Sementara itu, pertumbuhan pinjaman isi rumah meningkat kepada 6.3 peratus daripada 6.2 peratus pada April 2024, didorong terutama oleh pinjaman untuk pembelian rumah dan kereta. 

Permohonan dan pengeluaran pinjaman dalam kalangan peminjam isi rumah juga terus menggalakkan.

Secara keseluruhannya, sistem perbankan terus mencatatkan penampan mudah tunai yang kukuh dengan agregat nisbah perlindungan mudah tunai berada pada 149.7 peratus (April 2024: 152.2 peratus) manakala agregat nisbah pinjaman kepada dana secara amnya kekal stabil pada 82.2 peratus (April 2024: 82.1 peratus).

Nisbah pinjaman terjejas kasar dan bersih secara keseluruhannya kekal stabil masing-masing pada 1.6 peratus and 1.0 peratus.

Sehingga akhir Mei 2024, jumlah peruntukan adalah sebanyak RM32 bilion (April 2024: RM32.4 bilion).

BNM berkata pasaran kewangan global masih tidak menentu, berpunca daripada ketidakpastian mengenai hala tuju kadar dasar monetari Amerika Syarikat (AS) pada masa hadapan.

Bagaimanapun, beberapa bank pusat utama, termasuk bank pusat Switzerland dan Sweden, telah mula melonggarkan kadar dasar monetari berikutan tanda-tanda inflasi yang mereda. 

Di dalam negara, inflasi keseluruhan meningkat kepada 2.0 peratus pada Mei berbanding 1.8 peratus pada April 2024 didorong terutamanya oleh barangan keperluan terpilih, terutamanya makanan segar dan utiliti, manakala inflasi teras tidak berubah pada 1.9 peratus.

Berlatarkan keadaan ini, ringgit terus mencatatkan prestasi positif dengan penambahan nilai sebanyak 1.2 peratus berbanding berbanding dengan dolar AS berikutan aliran masuk bukan pemastautin ke pasaran bon dan ekuiti domestik.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan