AM > BERITA

27 ANAK ASNAF TERIMA MANFAAT PROGRAM TVET PETRONAS

24/06/2024 04:48 PM

KUALA NERUS, 24 Jun (Bernama) -- Seramai 27 anak asnaf mendapat manfaat daripada program Latihan Teknikal Zakat Wakalah 2024 yang dilaksanakan secara kerjasama antara Institut Teknologi Petroleum Petronas (INSTEP) dan Yayasan Pendidikan MAIDAM (YPM).

Pengurus Besar INSTEP Azhar Ahmad berkata latihan tersebut bertujuan memberi pendedahan asas berkaitan kemahiran Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dalam sektor minyak dan gas kepada anak asnaf yang layak.

Beliau berkata selain itu, ia juga sebahagian daripada usaha INSTEP menyokong agenda mengukuhkan dasar TVET negara.

"Sebahagian zakat yang dibayar oleh kakitangan Petronas kepada Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) dikembalikan kepada Dana As-Syakirin sebagai pemegang amanah yang menguruskan zakat berkenaan. Dana As-Syakirin pula mengagihkan sejumlah dana yang tersebut untuk membiayai program TVET sebagai antara usaha meningkatkan taraf hidup golongan asnaf. 

"Melalui program ini, setiap peserta diberi elaun RM500 sebulan selama empat bulan sebagai wang saku. Selain kemahiran asas dalam bidang elektrikal dan mekanikal, peserta juga dibekalkan dengan program pensijilan tambahan seperti Ujian Tanpa Musnah (NDT)," katanya ketika ditemui pada Majlis Penutup dan Penyerahan Sijil Program Latihan Teknikal Zakat Wakalah 2024 di INSTEP, di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif YPM Norhana Yaakub.

Mengulas lanjut Azhar berkata sejak penubuhannya pada 1981, INSTEP telah melahirkan lebih 156,000 tenaga kerja teknikal berkemahiran tinggi yang kini bertugas di serata dunia.

Sementara itu, seorang peserta Aina Rahmah Hayati Abdul Rahim, 24, dari Kampung Losong, Kuala Terengganu berkata beliau amat bersyukur kerana terpilih menyertai secara percuma program tersebut.

Siswazah bidang Teknologi Marin, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Arau, Perlis itu berkata program tersebut mampu memberi nilai tambah kepadanya untuk mendapat pekerjaan yang lebih baik.

"Terima kasih kepada INSTEP dan YPM kerana memberi peluang menyertai program ini secara percuma. Saya difahamkan kos untuk program ini mencapai RM2,000,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan