AM > BERITA

PERLIS PASTIKAN POKOK BESAR TEPI JALAN YANG NAMPAK BERISIKO DIBUANG - MB

24/06/2024 05:34 PM

KANGAR, 24 Jun (Bernama) -- Kerajaan Negeri akan memastikan pokok-pokok besar di tepi jalan di Perlis yang strukturnya didapati tidak kukuh sehingga berisiko untuk tumbang dan mengancam keselamatan orang ramai, dibuang.

Menteri Besar Mohd Shukri Ramli berkata pihaknya telah meminta Jabatan Perhutanan Negeri membuat kajian mengenai kekukuhan pokok-pokok berkenaan terlebih dahulu sebelum sebarang tindakan menebangnya diambil.

Beliau berkata kerja-kerja penyelenggaraan bagi memastikan pokok-pokok di tepi jalan di negeri itu tidak berisiko menjejaskan keselamatan orang ramai terus dilakukan dari semasa ke semasa.

"Saya rasa banyak dah pokok yang struktur tak kukuh kita dah buang sebenarnya, tetapi kita tak dapat mengelak apabila (berlaku) angin kuat, ribut ini kita tak boleh nak jangka,” katanya kepada pemberita ketika ditemui semasa meluangkan masa melawat Pejabat Persatuan Wartawan Perlis (PWP) di sini hari ini.

Semalam Bernama melaporkan sepasang suami isteri cedera parah selepas motosikal dinaiki mereka dihempap pokok tumbang di Jalan Kampung Padang Benta, Simpang Empat dekat sini awal pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 3 pagi itu Muhammad Danish Hakim Hanizam, 18, mengalami patah tulang paha kanan manakala isterinya mengalami pendarahan dalam kepala serta patah tulang pinggang, dan bayi dalam kandungan berusia lima bulan meninggal dunia.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan