AM > BERITA

YAYASAN PENERAJU SASAR 10,000 PEMIMPIN BUMIPUTERA MENERUSI TALENT BANK

25/06/2024 11:43 AM

KUCHING, 25 Jun (Bernama) -- Yayasan Peneraju (YP), agensi di bawah Kementerian Ekonomi melancarkan Talent Bank yang pertama seumpamanya di Malaysia untuk menaik taraf keupayaan pencipta nilai bumiputera.

Dalam satu kenyataan, katanya, sejajar dengan mandat untuk meningkatkan daya saing bumiputera di persada global, program berkenaan dijangka melahirkan 10,000 bakat pemimpin berimpak tinggi menjelang 2030.

Pelancaran YP Talent Bank yang disempurnakan oleh Timbalan Menteri Ekonomi Datuk Hanifah Hajar Taib di sini baru-baru ini turut menandakan satu mercu jaya penting dalam usaha pembangunan bakat negara.

“YP Talent Bank sejajar dengan rangka kerja Ekonomi MADANI: Memperkasa Rakyat yang diumumkan baru-baru ini, secara khususnya menerusi teras strategik yang digariskan dalam tunggak 'Menaikkan Siling' yang bertujuan mengukuhkan ekonomi dan mengembangkan kekayaan negara.

“Kami berharap untuk melihat kesan positif YP Talent Bank dalam usaha melahirkan pemimpin masa depan dan memacu negara ke arah daya tahan ekonomi yang lebih kukuh,” kata Hanifah Hajar dalam kenyataan sama.

Menurut kenyataan itu, bank berkenaan akan terlebih dahulu memanfaatkan rangkaian alumni sebelum dibuka kepada semua individu bumiputera yang beraspirasi menjadi pemimpin dalam tiga kategori iaitu pemimpin profesional, pemimpin perniagaan atau pemimpin komuniti.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif YP Ibrahim Sani berkata YP Talent Bank menyasarkan untuk melengkapkan individu bumiputera dengan kemahiran dan keyakinan yang diperlukan sebagai pemimpin masa depan.

“Kumpulan bakat terpelbagai daripada platform YP Talent Bank akan memanfaatkan industri dan perniagaan, bukan sahaja dengan kemahiran dan kelayakan yang telah disahkan, malah disaring mengikut kesesuaian dan keperluan majikan.

“Menjelang 2030, YP Talent Bank berhasrat untuk membangunkan seramai 5,000 pemimpin profesional, 4,000 pemimpin perniagaan dan 1,000 pemimpin komuniti,” katanya.

Menurut kenyataan itu, mereka yang menyertai YP Talent Bank akan menjalani proses pembangunan yang bermula menerusi penilaian teliti. 

Program berkenaan merangkumi latihan kepimpinan, daripada program pembangunan terpilih kepada menimba pengalaman langsung bertujuan membina kemahiran kepimpinan yang diperlukan, katanya.

Inisiatif YP Talent Bank akan dilaksanakan menerusi fasa strategik melibatkan pendaftaran, pelancaran Fasa 1 menjelang 2025 serta Fasa 2 (2026).

Layari https://peneraju.org/untuk maklumat lanjut mengenai YP Talent Bank dan pendaftaran.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan