AM > BERITA

YPM SEDIA PERUNTUKAN LEBIH RM70 JUTA BAGI PROGRAM PENDIDIKAN

25/06/2024 11:13 AM

KUALA TERENGGANU, 25 Jun (Bernama) -- Yayasan Pendidikan MAIDAM (YPM) menyediakan peruntukan sebanyak RM74.8 juta bagi membiayai program pendidikan tahun ini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Norhana Yaakub berkata jumlah peruntukan itu meningkat berbanding RM62.9 juta pada tahun lepas.

Beliau berkata antara faktor peningkatan termasuk pembiayaan pelajar bagi program biasiswa penuh ke Tunisia dan Algeria dalam beberapa bidang termasuk pengajian Islam mulai tahun ini.

"Tahun lepas untuk biasiswa luar negara kita hantar lebih 20 pelajar ke Jordan untuk lanjutkan pelajaran dalam bidang pengajian Islam di peringkat Ijazah, Ijazah Sarjana dan Doktor Falsafah.

"Untuk 2024 kita akan mula hantar pelajar ke Tunisia dan Algeria. Kuota untuk tiga negara itu termasuk Jordan dalam 60 lebih pelajar," katanya ketika dihubungi hari ini.

Menurut Norhana, selain penghantaran pelajar ke luar negara YPM turut melaksanakan 11 lagi program pendidikan bagi melahirkan generasi yang menyumbang kepada ekonomi dan sosial sejagat.

Antaranya bantuan awal pengajian, bantuan Institusi Pengajian Tinggi (IPT), bantuan sekali bayar ke luar negara dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) untuk anak asnaf.

Beliau berkata tahun lepas YPM telah membelanjakan lebih RM2 juta untuk program latihan TVET yang dijalankan dengan kerjasama institusi kerajaan dan pihak industri.

"Sebanyak 12,000 pelajar pula telah mendapat manfaat daripada program bantuan awal pengajian yang kita laksanakan setiap tahun. 

"Bantuan awal ini membolehkan pelajar membuat persiapan dengan lebih baik untuk pelbagai peringkat termasuk matrikulasi, diploma dan ijazah," katanya. 

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan