AM > BERITA

DEPOT TAHANAN IMIGRESEN JAWI DIJANGKA SIAP SEPENUHNYA HUJUNG JULAI

25/06/2024 02:01 PM

NIBONG TEBAL, 25 Jun (Bernama) -- Pembinaan Depot Tahanan Imigresen dan Kuaters Jawi yang tertangguh selama lima tahun kini sudah mencapai kemajuan 98 peratus dan dijangka dapat disiapkan sepenuhnya hujung bulan depan.

Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Seri Ahmad Maslan berkata projek bernilai RM77.5 juta di atas tanah berkeluasan enam hektar itu memulakan pembinaannya pada 27 Mei 2019 dan sepatutnya siap pada 8 Mei 2022, namun diberikan tiga kali penangguhan susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ketika pandemik COVID-19.

“Projek ini menggunakan kaedah tender terbuka oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) selaku agensi pelaksana dan dijangka siap pada 28 Julai depan,” katanya pada sidang media selepas meninjau kemajuan projek itu di sini hari ini. Turut hadir Pengarah Imigresen Pulau Pinang Nur Zulfa Ibrahim.

Beliau berkata skop projek berkenaan turut meliputi pembinaan rumah pam dan tangki sedut selain penyediaan jajaran retikulasi air sepanjang dua kilometer ke projek depot itu bagi mengatasi isu tekanan air rendah di kawasan Jawi yang menjejaskan bekalan air di kawasan penjara dan Taman Widuri. 

“Projek ini menelan kos RM5.78 juta, juga melalui tender terbuka dengan jumlah keseluruhan bagi kedua-dua projek adalah RM83.28 juta,” katanya.

Ahmad berkata pembinaan depot itu merupakan projek di bawah Rancangan Malaysia ke-11(RMK-11) Rolling Plan Pertama di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN) milik Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Pulau Pinang, bertujuan menyediakan pusat tahanan pendatang asing serta boleh menampung kapasiti diperlukan dan memiliki ciri-ciri kawalan keselamatan. 

Di samping itu, katanya projek tersebut juga menyediakan tempat tinggal pegawai bertugas yang berhampiran dengan tempat kerja sekali gus meningkatkan tahap kesiapsiagaan pegawai Imigresen Depot Tahanan dengan masa tindak balas yang pantas bagi menangani sebarang isu sekiranya berlaku kekecohan di blok tahanan.

“Projek ini bakal menggantikan Depot Tahanan Imigresen Juru (sedia ada) yang dibina pada 1976 susulan depot tersebut telah uzur dan tidak selamat untuk diduduki. 

“Secara purata, depot Tahanan Imigresen Juru ini mempunyai kapasiti untuk 500 orang tahanan terdiri daripada 350 tahanan lelaki dan 150 orang tahanan wanita. Bagaimanapun kapasiti itu dapat ditingkatkan dengan siapnya depot baharu ini yang mampu menampung 834 tahanan lelaki dan 324 tahanan wanita,” katanya.

Ahmad berkata JKR terus komited untuk melaksanakan projek-projek yang diberikan pihak kementerian supaya disiapkan mengikut jadual atau lebih awal.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan