AM > BERITA

MARHAYANI DILANTIK KETUA PENGARAH KIMIA BAHARU

25/06/2024 09:04 PM

KUALA LUMPUR, 25 Jun (Bernama) -- Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Jabatan Kimia Malaysia (KIMIA) Marhayani Md Saad dilantik sebagai Ketua Pengarah baharu jabatan itu berkuat kuasa hari ini.

Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dalam kenyataan hari memaklumkan Marhayani, 55, menggantikan Halimah Abdul Rahim yang bersara wajib pada 1 Jun lepas.

Memulakan perkhidmatan sebagai penjawat awam pada September 1993, anak jati Kedah itu memiliki Ijazah Sarjana Muda Sains (Kimia) daripada Humboldt State University, California, Amerika Syarikat dan berpengalaman luas dalam bidang pentadbiran, forensik, kesihatan dan alam sekitar, halal serta keselamatan kimia. 

Marhayani pernah menyandang tugas sebagai Pengarah KIMIA Kedah serta Pengarah Kanan Pusat Analisis Industri dan Tarif Kastam sebelum dilantik menjadi Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) KIMIA Malaysia pada 15 Nov 2023.

Beliau turut mengetuai projek Pengukuhan Perkhidmatan Makmal Melalui Pengwujudan Kemudahan Makmal Bergerak (Mobile Lab) dan Pasukan Tindakan Bencana Kimia.

"Melalui projek ini, kesiapsiagaan KIMIA Malaysia khususnya dan negara amnya dapat dipertingkatkan terutamanya dalam menangani bencana dan ancaman pengganas yang melibatkan bahan kimia.

"Semoga dengan kepakaran dan pengalaman luas beliau akan terus memacu kecemerlangan dan memberi suntikan baharu buat KIMIA Malaysia yang telah memberikan perkhidmatan yang terbaik dalam bidang saintifik kepada negara selama 115 tahun," menurut kenyataan itu.

-- BERNAMA



 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan