AM > BERITA

ZAINAL AZNI DILANTIK KETUA PENGARAH RISDA KE-17

29/06/2024 02:21 PM

PUTRAJAYA, 29 Jun (Bernama) -- Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) mengumumkan pelantikan Zainal Azni Zulkifli sebagai Ketua Pengarah Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) yang ke-17 berkuat kuasa 7 Jun lepas.

Pelantikan itu susulan persaraan Datuk Abdullah Zainal pada 6 Jun.

RISDA dalam kenyataan hari ini memaklumkan Zainal Azni merupakan lulusan Ijazah Sarjana Muda Perundangan daripada Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan memiliki rekod perkhidmatan luas dalam bidang kehakiman, perundangan, polisi serta operasi termasuklah dalam sektor korporat dalam negara dan antarabangsa.

“Pengalaman luas dan kecemerlangan Zainal Azni dalam pelbagai jawatan penting di pelbagai organisasi termasuk RISDA menjadikan beliau calon ideal bagi menerajui agensi ke fasa baharu pembangunan sektor pekebun kecil getah di negara ini.

“Mulai 2020, beliau menjawat jawatan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan RISDA Holdings Sdn. Bhd. (KRH) dan berjaya mencapai keuntungan signifikan sebanyak RM53.3 juta yang merupakan pencapaian tertinggi syarikat RISDA dalam tempoh ini,” menurut RISDA.

Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi telah menyampaikan watikah pelantikan kepada Zainal Azni dalam satu mesyuarat yang diadakan di Putrajaya semalam.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan