AM > BERITA

KPKM PERUNTUK RM70.12 JUTA PACU SEKTOR PERTANIAN, AGROMAKANAN DI JOHOR

27/06/2024 01:00 AM

JOHOR BAHRU, 26 Jun (Bernama) -- Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) memperuntukkan RM70.12 juta dalam usaha memacu sektor pertanian serta industri agromakanan di Johor, tahun ini. 

Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Arthur Joseph Kurup berkata peruntukan itu bagi melaksanakan projek pembangunan meliputi sektor ternakan, tanaman dan akuakultur, selain pemerkasaan industri nanas, pemasaran dan aktiviti eksport hasil pertanian serta pembangunan usahawan agro. 

Beliau berkata daripada jumlah itu, sebanyak RM19.2 juta diperuntukan di bawah program kerjasama KPKM dengan kerajaaan negeri bagi mengoptimumkan penggunaan tanah ke arah keterjaminan makanan negara. 

"Secara umumnya, program kerjasama ini merupakan inisiatif ‘Quick Win’ KPKM melalui belanjawan 2024 untuk mengoptimumkan tanah bagi aktiviti pertanian, agromakanan dan agropelancongan di seluruh negara melibatkan peruntukan sebanyak RM150 juta," katanya dalam kenyataan hari ini. 

Terdahulu, Arthur mengadakan kunjungan hormat ke atas Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi hari ini dan turut menyerahkan cek cura program kerjasama berkenaan yang berjumlah RM19.2 juta. 

Beliau berkata peruntukan itu secara tidak langsung mencerminkan tindakan proaktif kerajaan dalam menyokong usaha Johor meningkatkan pelaksanaan program pembangunan tanah terbiar, dan memastikan ia dapat dibangunkan secara optimum. 

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan