AM > BERITA

ASIA TENGAH LIHAT MALAYSIA SEBAGAI NEGARA ISLAM CONTOH - MOHAMAD HASAN

27/06/2024 12:50 PM

KUALA LUMPUR, 27 Jun (Bernama) -- Persidangan Dewan Rakyat diberitahu bahawa negara Asia Tengah seperti Republik Kyrgzytan, Kazakhstan dan Uzbekistan memandang Malaysia sebagai model negara Islam yang baik untuk dicontohi.

Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan berkata ini kerana Malaysia mengamalkan sikap sederhana di peringkat antarabangsa selain dasar luar yang bebas termasuk dalam memperjuangkan hak rakyat Palestin.

Mohamad berkata ketika lawatan rasmi Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di ketiga-tiga negara itu Mei lepas, Anwar telah disambut dengan penghormatan yang tinggi oleh perdana menteri kesemua negara tersebut.

“Saya tak pernah lihat Perdana Menteri kita datang, yang menyambutnya perdana menteri di ketiga-tiga negara ini. Itu merupakan satu penghormatan kepada negara kita dan sambutan itu amat mesra sekali dan mereka melihat kita sebagai negara yang boleh dijadikan sebagai contoh atau model.

“Mereka memandang tinggi terhadap kita dan mereka ingin belajar dengan Malaysia, bagaimana untuk mereka bersama-sama membangun sebagai negara yang merdeka daripada Soviet Union,” katanya pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri.

Beliau menjawab soalan tambahan Aminolhuda Hassan (PH-Sri Gading) mengenai pandangan negara Asia Tengah terhadap kepimpinan dan pentadbiran Kerajaan MADANI ketika lawatan rasmi Perdana Menteri ke ketiga-tiga negara itu, baru-baru ini.

Mengambil contoh Kyrgyztan, Mohamad berkata kepimpinan negara itu mahu Malaysia menghantar penasihat bagi membantu dalam membina negara mereka.

“Kementerian Luar sudah menghantar beberapa nama ke Pejabat Perdana Menteri supaya permohonan mereka untuk kita menghantar penasihat bagi membantu mereka merancang ekonomi dan pembangunan dapat dilaksanakan segera,” katanya.

Menjawab soalan asal Aminolhuda mengenai hubungan dua hala Malaysia dengan negara-negara berkenaan, Menteri Luar itu berkata hubungan itu membuka potensi kerjasama pelaburan dan perdagangan ke rantau tersebut yang kaya dengan hasil galian atau dipanggil negara blok ‘5C’.

Hasil pertemuan itu, katanya kesemua tiga negara berkenaan mencadangkan agar Malaysia dan ASEAN menjalin kerjasama dengan blok itu bagi meneroka lebih banyak potensi perdagangan.

“Untuk Malaysia, ahli perdagangan kita perlu ke sana kerana negara mereka kaya dengan hasil galian…mereka menjemput ahli perniagaan dan syarikat kita yang mempunyai kepakaran, kemahiran dan kemampuan untuk meneroka bidang galian.

“Ini satu peluang Malaysia untuk mempertingkatkan dagangan kita dengan negara-negara ini dan membuka ruang usahawan kita menjadi peneroka di negara tersebut,” katanya.

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan